103 guru dari Thailand lawat Pusat Ulul Albab UPSI

TANJUNG MALIM – Pusat Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan seramai 103 guru dari Sekolah Phatna Wittaya Yala dari Thailand baru-baru ini.

Penyelaras Satu yang juga Pengarah PUA, Dr. Sakinah Salleh berkata, sempena kunjungan itu, guru-guru berkenaan mengikuti Program Eksplorasi Rentas Akademik dan Budaya: Explore The Beauty of Malaysia.

Katanya, program itu diadakan dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) di Dewan Konvensyen e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini.

“Program yang berlangsung dari 8 hingga 12 Januari itu antara lainnya bertujuan mempromosikan konsep Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik serta modul Ulul Albab kepada para guru dan tenaga pengajar di Sekolah Phatna Wittaya Yala.

“Delegasi dari Thailand yang diketuai Pengarah Sekolah Phatna Wittaya Yala, Rosdee Maengkaji itu juga berpeluang berkongsi ilmu bagi meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran serta dapat mewujudkan komunikasi berkesan antara kedua-dua institusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Sakinah berkata, program seperti itu dapat meningkatkan kualiti diri warga pendidik berkenaan dalam bidang perguruan sekali gus membantu dalam menyelesaikan masalah di institusi pendidikan dengan kritis.

Beliau berkata, kejayaan program Eksplorasi Rentas Akademik dan Budaya: Explore The Beauty Of Malaysia sejajar dengan matlamat Pusat Ulul Albab untuk menjadi pusat rujukan Ulul Albab serantau.

“Matlamat program itu adalah untuk mengetengahkan konsep Ulul Albab sebagai satu solusi kepada pembentukan generasi bertaqwa yang mampu menjadi pemimpin dan memimpin generasi pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Norkhalid Salimin dalam ucapan perasmian berkata, program itu baik dalam memantapkan lagi kualiti pendidik dan bakal pendidik pada masa hadapan.

Ini kerana, jelas beliau, program tersebut menampilkan panel-panel yang arif dalam bidang pedagogi perguruan.

“Saya yakin ia akan memberikan satu nilai tambah kepada warga pendidik bagi menimba seberapa banyak ilmu untuk dijadikan bekal bagi meningkatkan lagi kemahiran yang sedia ada,” ujarnya.

Program selama lima hari itu mendedahkan guru dari Sekolah Phatna Wittaya Yala kepada teknik pengajaran yang menggunakan modul Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik melalui ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dibimbing oleh Talent Pool Pusat Ulul Albab.

Peserta juga berkesempatan mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak dengan kakitangan UPSI dalam mengeratkan ukhwah antara dua negara. – KOSMO! ONLINE

The post 103 guru dari Thailand lawat Pusat Ulul Albab UPSI appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*