11 Kes Rabies Dilaporkan Di Sarawak Sejak Januari 2023 – KP Kesihatan

Kes rabies Sarawak 2023

11 Kes Rabies Dilaporkan Di Sarawak Sejak Januari 2023 – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan sebanyak 11 kes rabies dalam kalangan manusia termasuk sembilan kes kematian telah dilaporkan di Sarawak sejak 1 Januari 2023 sehingga 15 Mei 2023.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, empat kes daripadanya masing-masing dari bahagian Sibu dan Serian.  Manakala dua kes dari bahagian Kuching dan satu kes dari Bintulu.

Tambah Dr Muhammad Radzi, mangsa yang terlibat dalam kes ini adalah dalam lingkungan usia enam hingga 63 tahun.

“Lapan kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit anjing. Dua lagi kes mempunyai sejarah digigit atau dicakar kucing. Manakala satu kes tidak diketahui oleh ahli keluarga sama ada mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh haiwan,” jelasnya.

Tegasnya, masih terdapat risiko jangkitan rabies dalam kalangan manusia di negeri itu. Ia berikutan masih terdapat haiwan positif wabak berkenaan.

Langkah Pencegahan Rabies

Justeru, orang awam dinasihati mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dari dijangkiti virus rabies.

“Sekiranya digigit atau dicakar atau terkena air liur haiwan, luka mesti segera dicuci menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit.

“Selain itu, segara dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat. Pastikan vaksin anti-rabies lengkap diterima mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan.

“Seterusnya, tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar sama ada yang hidup mahupun yang telah mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA JUGA: Satu Lagi Pertambahan Kes Kematian Akibat Rabies Di Sarawak, Libatkan Lelaki Berusia 45 Tahun

Sehubungan itu, sejumlah 31 buah fasiliti KKM di seluruh Negeri Sarawak telah dikenalpasti bagi menyediakan perkhidmatan rawatan gigitan haiwan itu. Ia termasuk pemberian vaksin anti-rabies.

Manakala sembilan buah hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) kepada kes-kes berisiko tinggi.

“KKM akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Sarawak dalam usaha mencapai status Sarawak dan Malaysia bebas rabies menjelang tahun 2030.

“Justeru, semua penduduk Malaysia diminta agar sentiasa mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh KKM, pihak berkuasa dan agensi berkaitan,” katanya lagi.

Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di kalangan manusia di Sarawak adalah sebanyak 66 kes dan 59 kematian sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017.

Berikut adalah 31 buah fasiliti yang disediakan oleh KKM di seluruh Negeri Sarawak

Gambar: KKM

Wabak Rabies

Rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies. Virus ini didapati dalam air liur haiwan yang dijangkiti dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan atau semasa kontak lansung dengan air liur haiwan yang dijangkiti, sama ada menerusi luka atau lapisan mukosa tubuh.

Ia termasuk kesan cakar kucing peliharaan atau kucing liar. Penyakit boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan tersebut merebak ke otak.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

The post 11 Kes Rabies Dilaporkan Di Sarawak Sejak Januari 2023 – KP Kesihatan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*