1,850 rumah PGBF terbengkalai kembali dibina

MARAN: Sebanyak 1,850 unit Rumah Pahang yang sebelum ini dikenali Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai antara tujuh hingga 12 tahun di empat daerah di negeri ini, dijangka siap hujung tahun ini.

Ia membabitkan 10 tapak projek PGBF di Maran, Kuantan, Jerantut dan Rompin membabitkan kawasan seluas kira-kira 77.613 hektar.

Di Maran, tapak projek terlibat di Felda Jengka 6 (10 unit), Kampung Awah (56 unit), Jengka 1 (120 unit), Jengka 11 (180 unit), Bukit Tajau (100 unit) manakala di Kuantan pula membabitkan Bukit Sagu (300 unit) dan 400 unit di Felda Kerating 7, Rompin.

Bagi Jerantut, tiga tapak projek terlibat iaitu di Felda Sungai Retang (400 unit), Felda Kota Gelanggi 2 (144 unit) dan 50 unit di Felda Jengka 12.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan KMDI Holdings, Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, syarikat itu mengambil alih pembinaan 1,850 unit Rumah Pahang terbabit bermula Ogos tahun lalu.

“Masa kita mengambil alih pembinaan, lokasi PGBF majoritinya dinaiki semak samun dan terbengkalai tujuh hingga 12 tahun.

“Pembinaan semua unit rumah kita mulakan serentak dan perkembangannya ketika ini antara 40 ke 70 peratus. Kita jangka hujung tahun ini ia siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Felda Jengka 11 di sini semalam.

Pada 13 April tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan cadangan pengambilalihan projek PGBF yang terbengkalai dibuat secara usahasama oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dan pihak pemaju.

Kerajaan negeri pada 3 Ogos tahun lalu meluluskan cadangan pemulihan dan pengambilalihan projek PBGF secara usahasama antara kerajaan negeri dan KDMI Holdings.

Azjuriyahti berkata, pembinaan Rumah Pahang menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf yang mempunyai ketahanan tinggi dan lebih menjimatkan berbanding kaedah pembinaan biasa.

“Rumah ini dijual pada harga RM120,000 sebuah membabitkan rumah tengah. Ia membabitkan keluasan binaan 800 kaki persegi dan keluasan tanah 1,400 kaki persegi.

“Bagi rumah lot sudut, harganya berbeza mengikut keluasan tanah dan akan dinilai setelah permohonan dibuat oleh pembeli,” katanya.

Beliau berkata, permohonan rumah berkenaan boleh dibuat menerusi LPHP iaitu secara dalam talian melalui eperumahan.pahang.gov.my

“Pemohon mestilah dalam kalangan generasi kedua Felda atau yang menetap atau bekerja di negeri ini dalam kawasan berkenaan ataupun gugusan Felda yang sama. Pemohon mestilah seorang warganegara Malaysia dan keutamaan diberikan kepada rakyat negeri ini.

“Jumlah pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan dan pemohon tidak memiliki kediaman atas nama suami atau isteri,” katanya. – UTUSAN

The post 1,850 rumah PGBF terbengkalai kembali dibina appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*