1MDB: Kerajaan Tidak Campur Tangan Dalam Keputusan Mahkamah

kerajaan tidak masuk campur imdb najib

1MDB: Kerajaan Tidak Campur Tangan Dalam Keputusan Mahkamah

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) — Kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan dan melepaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berulang kali menegaskan bahawa beliau dan kerajaan sama sekali tidak akan mencampuri urusan mahkamah.

“Keputusan itu merupakan proses mahkamah yang perlu dihormati,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini, ketika mengulas tindakan netizen yang mempertikai keputusan terbabit selain mendakwa terdapat campur tangan kerajaan.

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan dan melepaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-duanya di akhir kes pendakwaan.

Mengenai cadangan yang disuarakan beliau sebelum ini untuk menubuhkan jawatankuasa khas berhubung skandal 1MDB, Fahmi berkata keperluan menubuhkan jawatankuasa itu akan diteliti sekiranya ia menjadi suatu mekanisme penting untuk mempercepatkan proses mengembalikan dana yang telah diseleweng.

Fahmi berkata walaupun penubuhan jawatankuasa terbabit masih belum dibincangkan namun proses mendapatkan semula dana 1MDB telah dilakukan pelbagai agensi sehingga membuahkan hasil, antaranya persetujuan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) untuk membayar US$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan 1MDB.

“Buat ketika ini, perkara itu (penubuhan) tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan proses untuk mendapatkan semula dana ini sedang berjalan selain ada beberapa perkara yang dikenal pasti segera dalam usaha mengembalikan wang rakyat,” katanya.

BACA: Najib Bebas Dan Lepas Kes Pinda Laporan Audit 1MDB: Kemenangan Buat Kami, Kata Rosmah

Sumber: Bernama

The post 1MDB: Kerajaan Tidak Campur Tangan Dalam Keputusan Mahkamah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*