20,000 orang meriahkan Malam Cinta Rasul (MCR) 3.0

PETALING JAYA: Sebanyak 20,000 orang membanjiri Stadium Malawati Shah Alam, dekat sini bagi memeriahkan program kerohanian Malam Cinta Rasul (MCR) 3.0 anjuran Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia bagi menyambut Malam Tahun Baharu 2023.

MCR 3.0 yang turut melibatkan kerjasama Semboyan Malaysia menampilkan tokoh-tokoh agama terkenal seperti Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Syeikh Abu Zaki Al Sangafuri, Wan Helmi Al Hafiz serta beberapa lagi individu terkemuka lain.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia, Muhammad Fazil Mohd. Dali berkata, beliau terharu dan bersyukur dengan sambutan luar biasa orang ramai serta lebih menggembirakan apabila pengunjung hadir daripada peringkat usia mengisi malam Tahun Baharu 2023 bagi memperingati junjungan besar Nabi Muhammad.

Katanya, malam tahun baharu dipilih untuk menganjurkan program berkenaan kerana belum pernah program seumpama ini yang kebiasaannya dipenuhi dengan program hiburan.

“Ia seterusnya menggalakkan golongan muda menyambut tahun baharu dengan pengisian yang lebih bermanfaat di samping mengambil keberkatan golongan ulama yang boleh menjadi asbab kebaikan di dunia dan akhirat.

“Malam Cinta Rasul 3.0 yang diadakan pada kali ini merupakan kesinambungan daripada program yang pertama kali diadakan pada Ogos 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.  Melihat pada sambutan luar biasa setiap kali penganjuran, saya berhasrat menganjurkan di kawasan terbuka di Dataran Merdeka tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pengunjung berpeluang menghadiri program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lebih menggembirakan apabila orang ramai mula memenuhi lokasi acara seawal pukul 2 petang demi mengikuti berbagai pengisian seperti Tausiyah, Qasidah dan selawat.  

“Acara kemuncak dimulakan selepas solat Maghrib berjemaah dengan Tausiyah yang disampaikan oleh Syeikh Abu Zaki Al Sangafuri bertajuk kisah saat kewafatan Rasullullah disusuli  Tausiyah bertajuk Rasulullah Rahmatan Lil Alamin sebelum diakhiri dengan ceramah penutup Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi menyatakan rasa syukur atas sambutan luar dugaan terhadap program ini dan akan terus menyokong penganjurannya pada masa akan datang.  

Menurut beliau, walaupun Semboyan Malaysia lebih tertumpu kepada isu-isu kepenggunaan, pihaknya terus menyokong program ini kerana iasalah satu usaha dakwah berterusan yang membawa banyak membawa manfaat terutama kepada golongan muda. – UTUSAN

 

The post 20,000 orang meriahkan Malam Cinta Rasul (MCR) 3.0 appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*