306 ditahan babit nilai rampasan RM132 juta tahun lalu

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 306 tangkapan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM132,707,431.40 dalam Op Kontraban sepanjang tahun lalu.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, Op berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) melalui Wildlife Crime Bureau (WCB) dan Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) dalam usaha membendung ketirisan bekalan bersubsidi.

“Kejayaan tersebut terdiri daripada Akta Kastam dengan nilai rampasan RM68,047,396.60, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (RM25,000), Akta Pemulihan Hidupan Liar (Op Bersepadu Khazanah) (RM2,855,370), Akta Bahan Letupan (RM7,576,222) dan Akta Kawalan Bekalan (RM40,360,702.80).

“Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (RM1,500,000), Seksyen 379 dan 472 Kanun Keseksaan (Bitcoin) (RM1,581,000), Akta Senjata 1960 (RM12,000), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (RM7,329,740) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadan dan Bahan Kosmetik 1994 (Ubat Covid-19) dan Akta Racun 1952 (vape) (RM3,420,000),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pada tahun ini, bagi tempoh 1 hingga 6 Januari lalu, WCB dan PSK telah menjalankan sembilan serbuan serta operasi dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM27,400,605.20 melibatkan penahanan 23 individu.

Katanya, kesemua individu berkenaan merupakan 17 orang warga tempatan manakala enam merupakan warga asing.

“Kejayaan kes ini terdiri daripada Akta Kastam 1967 dengan rampasan berjumlah RM24,229,455.70, Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM971,149.50) dan Akta Racun 1952 (RM2,200,000),” ujarnya.

Noorsiah berkata pada tahun ini WCB dan PSK akan terus komited memacu langkah untuk melaksanakan operasi bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Usaha bersepadu dengan pihak KPDN, LHDN dan KKM khususnya merupakan langkah proaktif bagi PDRM menyumbang secara efektif dalam membendung penyelewengan minyak diesel bersubsidi, rokok dan minuman keras demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 306 ditahan babit nilai rampasan RM132 juta tahun lalu appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*