38 Individu Kerugian Lebih RM120,000 Dipercayai Ditipu Pakej Umrah

38 Individu Kerugian

38 Individu Kerugian Lebih RM120,000 Dipercayai Ditipu Pakej Umrah

ALOR SETAR, 7 Mac (Bernama) — Seramai 38 individu kerugian dianggarkan lebih RM120,000 selepas dipercayai ditipu membabitkan pakej umrah dengan membayar wang berkenaan kepada sebuah yayasan melalui seorang guru besar wanita pada 2018.

Difahamkan kesemua mangsa berurusan dengan guru besar tersebut yang kini telah bersara, yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ dengan menawarkan pakej umrah serendah RM2,990 seorang dengan kos lain akan ditanggung melalui tajaan.

Seorang mangsa, Azlina Abdullah, 53, mendakwa beliau mengetahui pakej itu melalui adik perempuannya yang merupakan guru di sekolah sama dengan wanita itu, dan mereka sepatutnya berangkat mengerjakan umrah pada 2019, namun tidak dapat berbuat demikian.

“Saya bersama lapan ahli keluarga telah membuat pembayaran lebih RM20,000 untuk menunaikan umrah pada 2019, tetapi kami dimaklumkan ia ditunda berikutan pengurus yayasan tersebut mempunyai masalah kesihatan.

“Pada awalnya kami tidak curiga kerana kumpulan pertama yang dibawa oleh yayasan itu berjaya menyempurnakan ibadah umrah, jadi kami tunggu giliran kami. Tetapi tiada sebarang maklumat diterima daripada bekas guru besar tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azlina mendakwa pihak yayasan ada memberikan surat perjanjian penyelesaian kepada semua mangsa pada 2019, namun hingga kini tiada sebarang pembayaran dibuat kepada mereka yang telah menandatangani surat berkenaan.

“(Kini) Yayasan itu (juga) mengalami kerugian dan kami telah dijanjikan pulangan wang selepas aset yayasan dijual pada Febuari 2022, tetapi semuanya janji palsu. Kami turut berhubung dengan bekas guru besar itu tetapi dia tidak memberi sebarang maklum balas kepada pertanyaan kami menerusi WhatsApp,” katanya.

Sementara itu, Azham, 41, yang juga adik kepada Azlina, terkilan kerana ada dalam kalangan mangsa yang telah meninggal dunia, tetapi wang bayaran balik pakej umrah yang dibatalkan belum juga diterima.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yayasan berkenaan memulangkan semula wang mereka, selain bekas guru besar itu perlu bertanggungjawab membantu menyelesaikan masalah dihadapi mangsa.

“Bapa dan bapa mentua saya telah meninggal dunia tetapi hingga kini wang masih belum dipulangkan. Kami semua hanya mahukan hak kami, pulangkan wang yang telah dibayar itu secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya laporan polis berhubung perkara itu juga telah dibuat pada Januari tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

The post 38 Individu Kerugian Lebih RM120,000 Dipercayai Ditipu Pakej Umrah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*