4 remaja rogol pelajar Tingkatan 5 secara berkumpulan, didakwa di mahkamah

Empat remaja lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol secara berkumpulan terhadap seorang pelajar tingkatan 5, dalam kejadian Ahad lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Khairul Asnawi Rusri, 19, Muhammad Firdaus Noor Apande, 18, dan dua lagi remaja berusia 17 dan 16 tahun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan meminta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah merogol mangsa berusia 17 tahun di Lapangan Terbang Sungai Rambai Aerodome, Jasin, pada jam 4 pagi, 17 Julai.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi, yang tidak menawarkan jaminan kepada kesemua tertuduh. Tetapi, peguam Chua Yong Yi merayu agar mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diberi jaminan.

Chua Yong Yi memohon Hakim Nariman Badruddin, memberi jaminan rendah kerana Khairul Asnawi adalah pelajar kolej vokasional di Segamat, Johor, manakala Muhammad Firdaus serta juvana 17 tahun tidak bekerja dan penama 16 tahun adalah pelajar tingkatan 4.

Sementara itu, Khairul Asnawi juga didakwa atas pertuduhan berasingan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Nariman membenarkan penama berusia 16 tahun diikat jamin RM5,000, manakala Muhammad Firdaus dan remaja 17 tahun sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin masing-masing. Khairul Asnawi pula dikenakan ikat jamin RM14,000 bagi dua pertuduhan.

Mahkamah memerintah kesemua tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dalam apa jua cara. Tarikh serahan dokumen ditetapkan pada 16 Ogos depan.

Sumber: Harian Metro

BACA: (Video) Berang disalam tanpa pandang muka, Pesara tampar kepala anggota TLDM

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*