40 Terkorban Dalam Nahas Kapal Terbang Terhempas Di Nepal

Kapal Terbang Terhempas di Nepal

Sekurang-kurangnya 40 mangsa terkorban dalam nahas kapal terbang Yeti Airlines yang membuat pendaratan cemas dan terbakar ketika dalam penerbangan dari Kathmandu ke Pokhara, Nepal hari ini, memetik laporan BBC.

Jurucakap syarikat penerbangan, Sudarshan Bartaula berkata, “Terdapat 68 penumpang dan empat anak kapal. Penyelamatan sedang dijalankan malah kami tidak tahu jika ada yang terselamat sehingga sekarang,”

Menurut jurucakap misi menyelamat, Gurudutta Dhakal, serpihan kapal terbang itu terbakar dan pasukan penyelamat cuba untuk memadamkan api kebakaran tersebut.

“Pasukan penyelamat sudah sampai di sana (lokasi kejadian) dan cuba untuk memadam api kebakaran. Semua pasukan penyelamat kini memberi tumpuan untuk memadam api terlebih dahulu dan menyelamatkan penumpang,” kata Dhakal.

Kapal Terbang Terhempas di Nepal
Kredit: BBC

Menurut Bangkok Post, industri udara Nepal telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan membawa penumpang ke kawasan berisiko untuk pengembara dan pendaki asing.

Tetapi, ia juga mempunyai kelemahan daripada aspek keselamatan kerana latihan dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi bagi pesawat.

Justeru, Kesatuan Eropah (EU) telah melarang semua syarikat penerbangan Nepal dari ruang udaranya untuk menjamin  keselamatan negara tersebut.

Negara ‘tuan tanah’ banjaran Himalaya itu juga dikatakan mempunyai beberapa landasan paling terpencil dan rumit di dunia yang diapit oleh puncak yang ditutupi salji, secara tidak langsung merupakan cabaran kepada juruterbang.

Ditambah lagi, Nepal turut mempunyai kekurangan infrastruktur bagi ramalan cuaca yang tepat, sekali gus mampu mendedahkan kepada kemalangan maut yang berlaku di kawasan terpencil dan pergunungan seperti yang berlaku sebelum ini.

Misalnya perubahan cuaca yang berlaku dengan begitu pantas di kawasan pergunungan akan mampu mewujudkan keadaan penerbangan yang berbahaya.

Menyorot kembali kemalangan pesawat pada Mei 2022 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Nepal Tara Air yang menerbangkan 22 orang termasuk 16 warga Nepal, empat warga India dan dua warga Jerman terkorban dalam nahas tersebut.

Hal itu disebabkan kawalan trafik udara terputus hubungan dengan Twin Otter berkembar sejurus selepas ia berlepas dari Pokhara dan menuju ke Jomsom iaitu destinasi pendakian yang popular.

Difahamkan, rangka pesawat ditemui berselerak di lereng gunung pada ketinggian sekitar 14,500 kaki (4,400 meter).

Malah, operasi melibatkan kira-kira 60 kru penyelamat tersebut ‘memaksa’ mereka mendaki bukit sejauh beberapa kilometer untuk sampai ke tempat kejadian.

Disebabkan peristiwa tersebut, kerajaan mengetatkan peraturan termasuk hanya membenarkan pesawat terbang sekiranya ramalan cuaca dilaporkan baik di sepanjang perjalanan.

Selain itu, pada Mac 2018, sebuah pesawat US-Bangla Airlines dilapor terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu yang telah mengorbankan 51 orang.

Kemalangan itu adalah yang paling tragis di Nepal sejak tahun 1992 apabila kesemua 167 orang di dalam pesawat Pakistan International Airlines maut selepas ia terhempas ketika menghampiri Kathmandu.

Hanya dua bulan selepas itu, satu lagi kemalangan berlaku melibatkan pesawat Thai Airlines yang terhempas berhampiran lapangan terbang yang sama hingga mengorbankan 113 orang.

Sumber: Bangkok Post

The post 40 Terkorban Dalam Nahas Kapal Terbang Terhempas Di Nepal appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*