80 peratus pempamer sahkan penyertaan pada LIMA’23 – Mohamad

KUALA LUMPUR – Lebih 80 peratus pempamer dari dalam dan luar negara telah mengesahkan kehadiran pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) bermula 23 hingga 27 Mei depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kehadiran tersebut adalah berdasarkan jumlah keseluruhan kira-kira 600 pempamer yang dijangka terlibat dalam acara di Pulau Langkawi, Kedah, itu.

Jelas beliau, LIMA’23 diadakan semula pada tahun ini selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara dan acara itu kemudiannya ditangguhkan.

“Setakat ini lebih 80 peratus (pempamer) telah menyatakan komitmen masing-masing dan ada di antara mereka yang telah menempah ruang-ruang pameran yang akan disediakan nanti.

“Pada masa sama, kita jangka LIMA’ 23 akan menarik lebih 50,000 delegasi tetamu dari dalam dan luar negara. Saya berharap penganjuran kali ini akan berjaya seperti penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia yang telah diadakan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas lanjut, Mohamad berharap agar pelaksanaan acara dwitahunan itu mendapat kerjasama daripada semua pihak dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.- KOSMO! ONLINE

The post 80 peratus pempamer sahkan penyertaan pada LIMA’23 – Mohamad appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*