KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius kes membabitkan pasukan Kuala Lumpur (KL) City yang didakwa mengemukakan dokumen tidak tepat atau tidak benar dalam proses mendapatkan lesen.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika diminta mengulas mengenai perkara itu menjelaskan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi melihat kaedah untuk mengatasi masalah berkenaan.
Beliau turut mengakui perkara itu harus diselesaikan dengan sewajarnya bagi mengelak kesan lebih besar termasuk tindakan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Betul (bahaya jika FIFA tahu). Kita akan mengadakan perbincangan dengan MFL dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.
Kelmarin, FIB mengumumkan enam hukuman terhadap KL City FC atas deklarasi tunggakan yang tidak tepat atau tidak benar ketika proses pelesenan kelab sebelum ini.
Bagi hukuman berdasarkan lesen kebangsaan, KL City dikenakan pemotongan enam mata, denda RM50,000 dan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025.
Sementara itu, berdasarkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula, skuad City Boys dikenakan hukuman tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua kitaran pelesenan kelab MFL (kitaran 2024-2025 dan 2025-2026), denda RM50,000 dan lesen AFC bagi pasukan itu yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-2024 bagi musim AFC 2024-2025 dibatalkan.
Selain itu, Noor Azman mengakui AFC sentiasa memberikan nasihat kepada FAM untuk menangani isu terbabit dengan lebih berhati-hati.
sumber: BH
“Saya tak nampak AFC campur tangan. AFC beri saranan dan (Setiausaha Agung AFC) Datuk Windsor Paul John suruh kami menangani perkara itu.
“Kami pun ada hantar surat kepada MFL dan MFL pun sudah menyiasat. Selepas itu FIB (First Instance Body) pun menyiasat dan sudah keluarkan kenyataan,” katanya.