PARIS: Beberapa pelumba basikal Olimpik mengalami kecederaan teruk apabila mereka berlanggar pada kelajuan 60 kilometer sejam di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, semalam.
Pencabar dalam acara keirin wanita tergelincir ke bawah trek ketika serpihan basikal berterbangan sebelum mereka memerlukan rawatan.
Nicky Degrendele dari Belgium dan Yuan Liying dari China akhirnya tersungkur di tepi basikal mereka berikutan perlanggaran pada kelajuan tinggi pada suku akhir keirin wanita.
Degrendele kelihatan menahan kesakitan ketika pegawai perubatan memeriksa keadaannya.
Rempuhan berlaku pada saringan pertama suku akhir selepas pelumba melepasi garisan penamat.
Basikal Liying dan bintang Belanda, Steffie van der Peet kelihatan bersentuhan sebelum insiden perlanggaran itu berlaku sekali gus mengejutkan penonton.
Degrendele turut terbabas apabila badan Liying yang berpusing kelihatan cuba menangkap basikalnya.
Mujurlah, walaupun terbabit dalam perlanggaran ngeri itu, ketiga-tiga pelumba itu kemudiannya disahkan baik-baik belaka.
sumber: BH
Sementara itu, kakitangan velodrom terpaksa membersihkan serpihan basikal yang berkecai.
Mereka kemudian mengosongkan trek dan terpaksa memasang pita sebelum ia dibaiki pada petang yang sama.