JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio jelas puas dengan kemenangan besar membelasah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Bidoglio berkata, karakter pemain JDT yang memiliki mentaliti mahu menang menjadi resepi kejayaan apabila pemain bermula dengan baik dan menguasai sepanjang permainan tanpa memberi ruang buat skuad kendalian Nafuzi Zain melakukan serangan berbahaya.
“Pemain mempamerkan aksi bertenaga dengan memulakan permainan dengan melakukan tekanan terhadap benteng Kedah malah kami sentiasa menggerakkan bola dengan umpanan tepat untuk menjanakan gerakan di kawasan kotak penalti lawan dan menghasilkan dua jaringan pada babak pertama.
“Kami menguasai bola dan kerap mengubah gerakan di sebelan sayap kiri dan kanan untuk mengumpan bola kepada pemain yang tidak dikawal pemain lawan malah barisan pertahanan juga memainkan peranan menggerak bola di posisi sayap manakala pemain tengah akan menutup ruang pemain lawan.
“Pada babak kedua, kami tingkatkan intensiti permainan dengan lebih dinamik dan kerap menekan benteng lawan yang jelas sering melakukan kesilapan mudah dan kesempatan itu kami gunakan untuk mencipta empat lagi gol dan aksi pada malam ini (malam tadi) cukup membanggakan,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu jelas memuji komitmen yang ditampilkan Bergson da Silva selepas kerja keras sepanjang 90 minit perlawanan membolehkan pemain import dari Brazil itu melakar hatrik pada perlawanan itu dan mrnyifatkan kerjasama berpasukan juga memainkan peranan penting.
Mengenai kelibat Arif Aiman Hanapi yang sudah memberi persembahan terbaik pada perlawanan itu namun masih gagal menemui sentuhan penyudah, Bidoglio akui agak simpati dengan pemain sayap kanan JDT itu tapi optimis dia akan menyerlah pada aksi seterusnya.
sumber: BH
“Nasib Bergson dan Arif Aiman berbeza, ketika Bergson menyerlah dengan jaringan hatrik tapi Arif tampak sedih apabila beberapa peluang menjaringkan gol serba tidak menjadi namun saya yakin Arif akan kembali dengan corak permainan yang lebih ampuh cuma dia perlu masa,” kata Bidoglio.