KUALA TERENGGANU: Pertemuan ‘derbi’ antara Terengganu FC (TFC) menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini pastinya menjanjikan pertembungan yang menarik.
Selain idam tiga mata, dua pasukan berjiran itu sudah pastinya mahu dilabel ‘gergasi’ Pantai Timur selepas masing-masing berjaya menundukkan satu lagi wakil Pantai Timur, Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Pada saingan liga sebelum ini, Sri Pahang FC berjaya menewaskan KDN FC 1-0 manakala TFC menang bergaya 3-0 ke atas skuad The Golden Deers itu.
Pertahanan kiri TFC, Muhammad Alif Zakaria mengakui bukan mudah buat pasukannya berdepan skuad Tok Gajah kendalian legenda Singapura, Fandi Ahmad.
Jelas pemain berusia 26 tahun itu, Sri Pahang sudah pasti bagaikan ‘harimau luka’ selepas tumpas 2-3 di laman sendiri kepada Sabah FC pada aksi liga, Jumaat lalu.
“Bukan laluan mudah buat kami untuk menang menentang pasukan Sri Pahang biarpun skuad itu tewas pada aksi terakhir liga kepada Sabah FC.
“Saya jangkakan mereka pasti akan bangkit untuk melakar kemenangan, tapi kami sudah bersedia untuk meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0, Sabtu lalu.
“Tambahan pula beraksi di tempat sendiri dengan ribuan peminat setia pastinya akan membangkitkan lagi semangat kami untuk melakar kemenangan kelima dalam saingan liga,” katanya.
sumber: BH
Berdasarkan kedudukan terkini, skuad TFC menghuni tangga ketiga liga dengan mengumpul 14 mata selepas merekodkan empat kemenangan, dua seri dan tewas sekali.