Sedia Sekat Safawi, Akhyar

KUANTAN: Sri Pahang FC mengakui tugas getir bakal menanti skuad itu apabila berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.

Pemain pertahanan Tok Gajah, Adam Nor Azlin berkata, tuan rumah memiliki pasukan yang kuat terutama jentera serangan yang berpengalaman.

“Bagi saya Terengganu memiliki dua penyerang yang bagus – Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang boleh memberi tekanan kepada kami di bahagian pertahanan.

“Dengan kelebihan yang TFC ada, saya selaku pemain pertahanan serta rakan sepasukan akan memastikan jaringan tidak dilakukan tuan rumah.

“Memang benar cabaran getir bakal dihadapi tetapi kehadiran kami ke Terengganu untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata dibawa pulang.

“Tiada yang mustahil dengan strategi yang dilakukan jurulatih (Fandi Ahmad) selepas kami tewas 3-2 kepada Sabah FC pada 9 Ogos lalu,” kata Adam.

Menurut Adam, jentera serangan diharap lebih berbisa untuk membolosi gawang tuan rumah.

Katanya, sentuhan jaringan terutama daripada Kpah Sherman tetap ditagih selain sumbangan rakan lain untuk membantu skuad Tok Gajah mencatat kemenangan.

“Setakat ini, kami hanya menang sekali ketika menewaskan Kelantan Darul naim (KDN) FC pada perlawanan pertama Liga Super. Selepas itu kami mencatat tiga keputusan seri dan tewas tiga.

“Namun, biarpun beraksi di tempat lawan, bagi saya peluang untuk menang tetap ada jika semua memberikan kerjasama dan fokus sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Saya harap kunjungan ke tempat lawan akan berpihak kepada Sri Pahang,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

sumber: BH

Selepas tujuh perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ke-11 apabila sekadar mengutip enam mata.