KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi, Endrick Dos Santos menitipkan ucapan selamat tinggal kepada juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menerusi laman Instagram miliknya, Dos Santos mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab JDT atas ‘layanan’ terbaik sepanjang dia bersama Harimau Selatan sejak 2023.
“Dua tahun pencapaian dan pembelajaran, terima kasih Tunku Mahkota Ismail atas segala yang disediakan kepada saya selama ini, kerana menjaga keluarga saya.
“Kami sangat bersyukur, terima kasih juga kepada rakan sepasukan dan semua peminat yang sentiasa menyokong kami. Terima kasih JDT, jumpa lagi,” tulis Dos Santos.
Tulisan Dos Santos itu turut mendapat reaksi daripada pemain JDT yang lain termasuk Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Francisco Geraldes yang mengucapkan selamat maju jaya buat pemain berusia 29 tahun itu.
Dos Santos menyertai kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC secara pinjaman manakala seorang lagi pemain JDT, Fergus Tierney dipinjamkan ke kelab Thailand, Chonburi FC.
sumber: BH
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menjelaskan kelab itu berharap pinjaman berkenaan memberi manfaat dan dua pemain terbabit memperoleh pengalaman berharga yang akan membuahkan hasil buat Harimau Selatan pada masa hadapan.