Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melakukan kejutan

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melakukan kejutan selepas seminggu tempoh jendela perpindahan pemain yang dibuka sejak 26 Ogos lalu dengan mengumumkan pelepasan pemain tengahnya, Habib Haroon dari skuad Sang Kenari.

Menerusi maklumat yang di muatnaik oleh media Sang Kenari, pemain Bahrain itu mencapai persetujuan bersama KDA FC untuk menamatkan kontrak lebih awal sekali gus menamatkan segala spekulasi pemain itu yang tidak hadir sesi latihan sejak minggu lalu.

“Selepas perbincangan bersama, kami menghormati keputusan Habib Haroon untuk bergerak ke arah yang berbeza, menamatkan kontrak lebih awal dengan persetujuan kedua-dua pihak memandangkan beliau mempunyai komitmen peribadi di Bahrain.

“Kudrat yang beliau taburkan sebagai perancang pasukan banyak memberi kesan positif dalam prestasi semasa, sehingga layak ke pentas separuh akhir Piala FA 2024/25, dan seluruh warga KDA FC menghargai semua usaha beliau di atas dan luar padang.

“Walaupun perjalanan Habib dan KDA FC bersama berakhir di sini, kami doakan agar beliau terus berjaya di masa hadapan. Pihak pengurusan KDA FC ingin mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan dan dedikasi Habib sepanjang bersama pasukan Sang Kenari,” katanya.

sumber: HM

Dalam perkembangan sebelum ini, ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain meminta penyokong agar menunggu pengumuman daripada pihak pengurusan berhubung ketiadaan Habib yang tidak bersama pasukan dalam latihan yang dijalankan di Stadium Darul Aman dan Stadium Sultan Abdul Halim.