Kuala Lumpur: Liga Perdana perlu diwujudkan kembali dalam usaha memberi peluang dan ruang kepada pemain tempatan bertaraf profesional untuk beraksi dalam saingan lebih kompetitif.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, saingan Liga Perdana boleh dikatakan medium terakhir buat pemain tempatan mengekalkan prestasi pada tahap optimum ketika di Liga Super dimonopoli awang import.
Beliau yang juga pemerhati bola sepak berkata, Liga Perdana terbabit perlu ‘bebas’ daripada pemain import sekali gus bakal menyaksikan tonggak tempatan kembali menyinar untuk sekurang-kurangnya mendapat tempat mewakili skuad Harimau Malaya.
“Penambahan awang import kepada 12 pemain sudah pastinya menyaksikan ruang untuk pemain tempatan semakin sedikit sekali gus sukar kepada mereka untuk membarisi kesebelasan utama.
“Pada saya, lebih baik wujudkan kembali saingan Liga Perdana yang hanya diwakili pemain tempatan saja. Tidak kisah jika hanya ada lapan pasukan saja bertanding kerana tempat untuk pemain tempatan tetap ada.
“Kita boleh melihat dalam tempoh beberapa tahun akan datang mungkin ada pemain daripada Liga Perdana akan menyinar kerana mereka mendapat minit perlawanan secukupnya dan beraksi dalam saingan kompetitif,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan pasukan yang beraksi dalam pertandingan anjuran AFC dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) berpeluang memperkukuh lagi pasukan selepas MFL membenarkan mereka untuk menambah dua lagi pemain import.
Situasi itu menyaksikan empat pasukan yang berentap di pertandingan luar domestik iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC (SFC), Terengganu FC (TFC) dan KL City FC boleh mendaftarkan maksimum 12 pemain import berbanding 10 pemain sebelum ini.
sumber: HM
Badan pengendali liga itu menerusi satu kenyataan memaklumkan penambahan kuota pemain import kepada 12 slot itu dibuat susulan keputusan terbaharu AFC yang memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had di dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu.