ia mencetuskan kebimbangan

ALOR SETAR: Jualan semasa tiket bagi aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Sabtu ini boleh dianggap berada dalam keadaan menyedihkan.

Ia susulan setakat jam 11 pagi hari ini, KDA FC menerusi laman sosial Facebook mereka memaklumkan hanya 43 tiket yang sudah terjual bagi aksi itu.

Berbaki dua hari lagi sebelum aksi itu berlangsung, ia mencetuskan kebimbangan bahawa perlawanan penting bagi skuad kendalian Nafuzi Zain itu akan berlangsung suram tanpa ribuan penyokong.

Justeru, penyokong Sang Kenari diharap dapat membanjiri stadium selain membantu kantung KDA FC yang mana umum mengetahui kelab itu berdepan masalah kewangan dan isu tunggakan gaji pemain.

Ketua pasukan KDA, Sony Norde turut menyeru penyokong setia Sang Kenari hadir memberi sokongan padu mereka dan merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 10,000 penyokong hadir ke stadium pada perlawanan itu.

Dia berkata, sokongan padu daripada penyokong sangat ditagih pasukan pada ketika ini dalam usaha mereka untuk bangkit memburu kemenangan di laman sendiri.

“Perlawanan sambungan liga ini cukup penting buat kami untuk kembali bangkit selepas tiga kali gagal memungut mata penuh di laman sendiri dan pastinya fokus kami adalah kembali bangkit bagi mendapatkan tiga mata penuh.

“Kita tahu semua pemain telah melalui pelbagai cabaran sebelum ini dan dalam menyelesaikan permasalahan itu sekurang-kurangnya kami mahu meletakkan pencapaian yang kami impikan buat pasukan dengan kemenangan apabila menentang TFC.

sumber: BH

“Saya tahu penyokong tetap setia dan yakin dengan keupayaan kami dan untuk mencapai misi yang sama kami perlukan sokongan terbaik bagi menyuntik kekuatan tambahan,” katanya.

Sony Norde mencetak dua gol untuk Sang Kenari dalam saingan Liga Super setakat ini ketika aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Negeri Sembulan FC (NSFC) masing-masing pada 17 Ogos dan 12 Julai lalu.