KUALA LUMPUR: Masalah tunggakan gaji boleh dianggap sudah menjadi rutin buat Liga Malaysia (Liga M) apabila setiap tahun isu itu disajikan dalam kancah bola sepak tempatan.
Tidak kira sama ada dalam saingan tertinggi Liga Super hingga ke pertandingan separuh profesional, Liga A1 juga terpalit dengan masalah sama.
Malah, sejak akhir-akhir ini terdapat laporan yang mendakwa beberapa pasukan dalam Liga A1 berdepan isu tunggakan gaji dengan ada tertunggak lebih empat bulan.
Situasi itu mencetuskan persoalan bagaimana sebenarnya pengurusan kelab menguruskan pasukan terbabit hingga terjerumus dengan masalah kewangan sedangkan pada awal musim mereka dilihat gah merekrut pemain dan menabur janji manis.
Muncul juga persoalan adakah wujud ‘scammer’ atau penipu yang berselindung di sebalik status sebagai pemilik kelab bola sepak di Malaysia?
Ia susulan salah satu ‘pemilik’ kelab yang bersaing dalam Liga A1 dikatakan mengabaikan tanggungjawab selepas pasukan itu berdepan isu tunggakan gaji lebih empat bulan.
Sumber rapat pasukan memaklumkan kepada BH Sukan, individu itu sebelum ini menabur janji manis dan akan membuat pelaburan besar selepas mengambil alih kelab terbabit.
“Pada peringkat awal, semuanya nampak bagus. Namun, hanya selepas beberapa bulan, gaji pemain dan kos perbelanjaan kelab tidak dibayar dan kini sudah tertunggak lebih empat bulan.
“Sekarang ini pemilik kelab hanya mendiamkan diri dan pemain bergelut dengan masalah gaji. Situasi itu jelas jauh berbeza dari apa yang dia janjikan sebelum ini.
“Pemain ketika ini merana kerana tidak dapat membayar komitmen mereka termasuk pinjaman kereta dan sukar untuk menyara keluarga.
“Ada juga antara mereka yang sudah dihubungi bank untuk tarik kereta dan ada yang tiada duit untuk pergi latihan bersama pasukan,” kata sumber itu.
Meskipun sebelum ini sudah banyak pasukan bergelut dengan isu kewangan hingga ada beberapa pasukan termasuk Perlis, Melaka United, Sarawak United dan Kelantan yang terkubur akibat masalah itu, namun kemelut tunggakan gaji ketika ini seakan tiada penghujung, malah kelab seakan tidak belajar daripada sejarah lalu.
Semua pemilik kelab bola sepak di negara ini sama ada yang beraksi dalam liga profesional mahu pun liga bawahan sepatutnya mengambil pengajaran daripada kes sebelum ini apabila salah seorang pemilik kelab dipenjara kerana kegagalan membayar tunggakan gaji pemain.
Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kelmarin juga dilaporkan mengalu-alukan hasrat pihak yang berminat mengambil alih pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun berharap mereka tidak mempunyai sebarang muslihat.
“Kalau dia ada kemampuan untuk selesai masalah silakan, kita harap dan berdoa dia ada kemampuan, tapi jangan ‘scam’ (tipu). Belum apa-apa lagi sudah buat kenyataan macam-macam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Raimi Fakri Mohd Fuad menjelaskan pihaknya tidak menerima aduan mengenai isu tunggakan gaji dan berharap mana-mana pemain yang berdepan masalah itu membuat aduan rasmi.
“Setakat ini kita menyemak dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), belum ada yang tampil buat aduan secara rasmi. Ia penting bagi sesuatu prosiding atau sebarang tindakan ke atas kelab dimulakan.
“Sukar bagi AFL untuk mengeluarkan sebarang kenyataan hanya bersandarkan berita atau laporan yang tidak pasti. AFL berharap mana-mana pemain yang terbabit dengan isu tunggakan gaji membuat aduan rasmi.
sumber : BH
“AFL tidak memandang ringan perkara ini dan tidak mahu isu seumpama ini berlarutan dan menjejaskan perjalanan liga,” kata Raimi.