Aaron-Wooi Yik sedia menawan ‘angin jahat’ di Axiata Arena

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersedia melakukan
terbaik menjelang aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 selepas dijadual berdepan pasangan ranking No.6 dunia, Liu Yu Chen dan Qu Xuan Yi di Axiata Arena, Bukit Jalil esok.

Aaron menegaskan dia perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan terutama menawan ‘angin jahat’ di Axiata Arena untuk membantunya menewaskan pasangan dari China tersebut selepas sebelum ini, mereka tewas dalam dua kejohanan tahun lalu di Terbuka Indonesia (Jun) dan Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok pada Disember baru-baru ini.

“Saya rasa kita pernah kalah sebanyak dua kali dengan pasangan dari China tersebut tetapi bagi saya ia bukan satu masalah. Tahun ini, kejohanan baru bermula dan semua perlu bermula dengan 0-0.

“Selepas berakhir perlawanan pusingan pertama ini, saya akan berbincang dengan jurulatih terutama mengenai strategi permainan pihak lawan. Kita tahu dekat sini (Axiata) angin sangat kuat.

“Jadi, saya rasa sesiapa yang mampu tawan angin tersebut, dia akan mempunyai kelebihan bermain di sini,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi pusingan pertama tersebut, gandingan sensasi ranking ketiga dunia itu lulus ujian pertama selepas bangkit menundukkan lawan dari Taiwan, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan 16-21, 21-15, 21-16 dalam aksi yang berlangsung selama 56 minit.

Kemenangan tersebut melegakan Aaron-Wooi Yik apabila ketinggalan pada set pertama sebelum bangkit mencari kemenangan.

“Kami memang sudah tahu angin agak kuat di gelanggang ini, tetapi kami bersedia kerana beraksi sebanyak dua kali di sini. Cuma kami perlu lebih tenang dan berani menghadapi lawan.

“Saya rasa berdepan perlawanan yang mencabar seperti adalah baik kerana ia akan bantu kami melakukan persiapan yang lebih bagus untuk perlawanan seterusnya,” ujar Aaron. -KOSMO! ONLINE

The post Aaron-Wooi Yik sedia menawan ‘angin jahat’ di Axiata Arena appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*