‘Abang’ rindu ibu, ayah

LUMUT: Seorang daripada dua kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan maut dekat Jambatan Bainun dekat sini, mulai merasa rindu terhadap kedua ibu bapanya yang terkorban dalam nahas jalan raya yang berlaku pada 10 Disember lalu.

Menurut nenek kanak-kanak itu, Ropitah Din, 53, Mohamad Hakimi Amsyar Mohamad Adam, 4, yang menggelarkan dirinya ‘abang’ kadang-kadang termenung dan bertanyakan ibu bapa dan adik bongsunya yang maut dalam kejadian tersebut.

“Abang ini kadang-kadang rindu, ketika sedang bermain di luar rumah, tiba-tiba meluru masuk dalam rumah bertanyakan ibu bapanya.

“Jadi, saya terpaksa bercerita kepadanya, ibu ayah sudah tidak perlu bekerja, mereka dan adik berehat, tidak perlu susah payah cari makanan, sudah disediakan untuk mereka dalam syurga,” katanya ketika ditemui ketika menerima kunjungan pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Daerah Manjung di rumahnya di Pengkalan Bharu di sini semalam.

Mohamad Hakimi Amsyar dan kakaknya, Nur Aisyah Umairah, 6, adalah anak kepada pasangan Mohamad Adam Che Embi, 33, dan Nurhamizza Hamdan, 32, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta di Jalan Kampung Koh-Segari pada 10 Disember lalu.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah anak bongsu mereka, Mohamad Aisy Hakim, 2, yang mana mereka lima sekeluarga menaiki kereta Proton Saga dalam perjalanan pulang ke rumah di Segari, sebelum bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Chevrolet Captiva.

Menurut Ropitah, Mohamad Hakimi Amsyar menangis ketika diberitahu kematian kedua ibu bapa dan adik bongsunya itu ketika masih dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).

Katanya, kedua-dua cucunya itu sudah dibenarkan keluar HSM kira-kira seminggu lalu dan beliau bersama suami, Hamdan Hamdi, 63, mengambil tanggungjawab memelihara mereka.

Jelasnya, tangan kanan Nur Aisyah Umairah yang retak dalam kejadian itu masih berbalut dan memerlukan rawatan susulan manakala kecederaan bawah mata dan rahang Mohamad Hakimi Amsyar semakin pulih.

Ropitah dan suami kadang-kadang membawa dua cucunya itu pergi ke rumah yang baru dibeli ibu bapa mereka di Prima@Segari untuk mencuci dan mengemaskan rumah tersebut yang baru diduduki mereka tidak sampai sebulan sebelum kejadian.

“Saya sudah reda dengan kehilangan mereka, dulu pernah berfikir apabila saya mati nanti, anak-anak akan memandikan saya, tidak sangka saya pula yang memandikan Nurhamizza, jadi kita terima saja ketentuan Allah,” ujar beliau.

Sementara itu, dua anak yatim piatu itu menerima pencen penakat dari Perkeso berjumlah RM2,990 setiap bulan bermula bulan depan sehingga kedua-dua mereka berusia 21 tahun, selain akan menanggung pengajian mereka jika melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama di universiti.

Menurut Pengurus Pejabat Perkeso Manjung, Mohd Shaperi Md. Salleh, bayaran itu diberikan kerana bapa mereka yang bekerja sebagai Juruteknik di Janakuasa Sultan Azlan Shah TNB Janamanjung Sdn. Bhd. adalah pencarum Perkeso.

Dalam lawatan itu, Mohd. Shaperi turut menyerahkan sumbangan hamper dan menyerahkan baucar wang tunai RM2,000 kepada Ropitah bagi bayaran pengurusan kematian Nurhamizza.

Sebelum ini, jelasnya, Perkeso telah menyerahkan baucer wang tunai dalam amaun yang sama kepada waris Mohamad Adam juga untuk bayaran pengurusan jenazah mangsa. – UTUSAN

The post ‘Abang’ rindu ibu, ayah appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*