Ada sebab ibu mentua ‘bersuara’ dalam media sosial – Puteri Sarah

KUALA LUMPUR – Melihat ibu mentuanya, Datin Fatimah Ismail lantang bersuara dalam media sosial, pelakon Puteri Sarah Liyana menegaskan tindakan tersebut dilakukan kerana terlalu kecewa dengan sikap anak sendiri, Syamsul Yusof berhubung isu perkahwinan keduanya dengan Ira Kazar.

Menurutnya, hati setiap wanita yang bergelar ibu pasti akan tergores apabila anak kandung sendiri sanggup membelakangkan keluarga terutama dalam urusan melibatkan perkahwinan kedua Syamsul.

“Saya faham sangat perasaan dia. Ramai kecam dia tetapi ada sebab mengapa dia bertindak sebegitu dan sedangkan netizen di luar sana tidak tahu situasi sebenar yang berlaku.

“Hanya saya, pihak belah sana (keluarga Ira) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sahaya yang tahu mengenai isu ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Ujar pelakon drama Melastik Ke Hatimu, mana-mana individu tidak akan melenting mengenai sesuatu perkara tanpa sebab.

“Tiada siapa yang marah atau meroyan secara tiba-tiba tanpa sebab.

“Sebelum anda semua kecam, cari dulu dan tanya apakah sebab sebenar dan mengapa saya berdiri di mahkamah hari ini,” ujarnya.

Kelmarin, isteri kepada pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam itu menyifatkan isteri kedua Syamsul iaitu Ira Kazar sebagai perampas kebahagiaan menantunya itu menerusi sebuah perkongsian Instagram Story.

Biarpun dilanda dugaan, Puteri Sarah bersyukur kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier seni termasuk mengambil berat tentang konflik rumah tangga yang dihadapi ketika ini.

“Saya bersyukur sangat dengan sokongan tanpa henti peminat yang sentiasa berada di belakang. Terima kasih sekali lagi,” katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah hadir ke mahkamah dengan ditemani dua adiknya dan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader bagi memfailkan perceraian terhadap Syamsul hari ini.

Pada 6 Januari lalu, pergolakan rumah tangga pasangan terbabit memasuki episod baharu apabila Syamsul mengaku sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa pengantin perempuan, Kazar Saisi.

Pengakuan tersebut mengundang reaksi negatif daripada orang ramai, termasuk ibu bapa Syamsul yang tidak merestui perkahwinan kedua anak sulungnya itu.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3. – KOSMO! ONLINE

The post Ada sebab ibu mentua ‘bersuara’ dalam media sosial – Puteri Sarah appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*