Agensi umrah diminta cari ruang agar tidak bebankan jemaah – Mohd. Na’im

PUTRAJAYA – Agensi umrah diminta supaya dapat mempertimbang ruang dan kaedah terbaik agar kenaikan kos keseluruhan yang dikenakan tidak melampau sehingga membebankan bakal jemaah umrah.

Itu gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar susulan rungutan jemaah umrah mengenai kenaikan kadar hotel di Mekah dan Madinah, ketika ini.

Menurutnya, beliau amat memahami perkara tersebut dan ia sedikit sebanyak telah membangkitkan keresahan kepada jemaah umrah.

“Sepertimana sedia maklum, perkara ini adalah di luar kawalan pihak kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau ketika ini berada di Arab Saudi mewakili negara untuk menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023.

Jelasnya lagi, selain berbincang isu-isu berkaitan pengurusan haji dan umrah, beliau juga akan mengemukakan isu kenaikan kos ini kepada Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi.

Mohd. Na’im berkata, beliau melihat situasi berkenaan adalah impak daripada kenaikan kos di negara Arab Saudi.

“Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah Malaysia bahkan kepada jemaah dari negara-negara lain juga,” ujar beliau.

Media sebelum ini mendedahkan bakal jemaah umrah tempatan diminta supaya bersiap sedia dengan kenaikan harga pakej umrah susulan kenaikan mendadak kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah pada masa ini.

Menurut, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), kenaikan kos itu mungkin menyebabkan agensi umrah akan menyemak semula harga pakej umrah pada saat-saat akhir. -KOSMO! ONLINE

The post Agensi umrah diminta cari ruang agar tidak bebankan jemaah – Mohd. Na’im appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*