akan mengundang kesan yang lebih buruk buat pasukan

Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC Nafuzi Zain masih menaruh harapan tinggi agar isu berkaitan tunggakan gaji yang menyebabkan pemain tidak turun menjalani latihan dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Menurut Nafuzi, isu tunggakan gaji yang masih berlarutan ini akan mengundang kesan yang lebih buruk buat pasukan dalam meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

“Berkaitan isu yang dialami skuad utama hingga ke hari ini, saya rasa semua pihak sudah tahu apa yang berlaku kepada pasukan membabitkan ketiadaan pemain skuad utama yang turun menjalani latihan di padang.

“Oleh itu saya harap perkara yang dilalui pasukan itu dapat diselesaikan dengan seberapa segera kerana kesan terlalu besar kepada pasukan dan semua yang terbabit,” katanya sebaik tamat latihan pasukan membabitkan skuad bawah-23 semalam.

Nafuzi juga berkata, skuad yang dilatihnya kini adalah pasukan bawah 23 tahun Kedah sebagai persiapan KDA FC untuk menempuh saingan Liga Super ke-10 menentang Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu ini.

“Untuk setakat hari ini (semalam) dari segi persiapan yang bermula semalam, pasukan bawah-23 tahun yang akan beraksi menentang KL City.

“Saya rasa berkemungkinan besar skuad bawah-23 akan beraksi dan saya tidak tahu apa akan berlaku dalam tempoh sehari dua lagi, tapi untuk setakat hari ini skuad inilah yang akan beraksi nanti.

“Persiapan skuad bawah-23 ini sudah dimulakan sejak Selasa lalu dan dalam tiga ke empat hari kami persiapkan dengan masa yang begitu singkat kerana mereka juga baru sahaja memulakan latihan. Kita menerima apa sahaja keputusan yang berlaku dan tak boleh jangkakan lebih dari itu disebabkan tempoh latihan beberapa hari sahaja.

“Kebanyakan daripada mereka baru sahaja beraksi salam kejohanan Sukma di Sarawak baru-baru ini, dan mereka baru nak memulakan balik latihan yang saya harap kami dapat melakukan usaha yang terbaik untuk aksi bertemu KL City di tempat lawan Sabtu ini,” katanya.

Nafuzi juga berkata, meskipun KDA FC bakal turun menentang KL City dengan hanya membariskan pemain muda, namun setiap perancangan sedang diatur bagi memastikan skuadnya memberi saingan yang terbaik ke atas KL City.

“Kita tetap mahukan persiapan yang terbaik dengan kualiti yang kita ada ini, kerana ini sahajalah skuad yang kita ada sekarang untuk meneruskan aksi Liga Super.

sumber: HM

“Aksi persahabatan yang kita lakukan hari ini (semalam) adalah perlawanan latihan dalaman menentang skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) Kedah untuk saya menilai dan melihat kemampuan pemain yang mana sesuai dengan taktikal perlawanan nanti,” katanya.