KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan aksi final Piala FA antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Ogos depan.
MFL dalam satu kenyataan turut mengumumkan empat kategori tiket yang akan diagihkan secara sama rata kepada pasukan Gergasi Merah dan Harimau Selatan dengan harga bermula RM50.
“Harga tiket serendah RM50 dan RM70 bagi tiket General Admission, RM150 tiket Piala FA Premium dan RM200 tiket Piala FA VIP Grandstand.
“Urusan penjualan tiket akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak kelab untuk memastikan penjualan tiket secara terus kepada penyokong-penyokong dengan sistematik dan sama rata.
“Segala maklumat mengenai proses penjualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan oleh JDT dan Selangor FC dalam masa terdekat,” kata MFL dalam kenyataan itu.
sumber: BH
Pertembungan dua pasukan yang dilabel gergasi dalam Liga Malaysia (Liga M), Selangor dan JDT dianggap sebagai final impian atau ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tanah air.
Selangor melangkah ke final selepas mengatasi Terengganu FC dengan agregat 6-4 di pusingan separuh akhir manakala JDT menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) menerusi agregat 5-1.