Aktiviti seleweng diesel bersubsidi tumpas, penyelia syarikat ditahan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi serbuan ke atas sebuah premis di Estet Perindustrian Bemban 3, Batu Gajah, Perak pada 7 Januari lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa dari KPDN Putrajaya pada pukul 2 petang itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang mengaku sebagai penyelia syarikat.

Menurutnya, lelaki terbabit yang berada di dalam premis berkenaan ditemui bersama beberapa buah tangki yang kosong dan berisi minyak diesel.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan menemui minyak diesel dengan kuantiti berjumlah 38,000 liter selain pam bermotor, ‘flow meter’ dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Premis berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM95,000 dan kesemua peralatan yang ditemui di lokasi telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran termasuk sumber minyak diesel yang diperolehi dan diedarkan.

Katanya, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961, jika disabit kesalahan boleh didenda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Aktiviti seleweng diesel bersubsidi tumpas, penyelia syarikat ditahan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*