Al Jufferi ingatkan pendekar negara perlu berjiwa besar

BEKAS juara dunia silat, Mohd. Al Jufferi Jamari menuntut pesilat negara yang menggalas tugas pada kejohanan antarabangsa dan Sukan SEA Kemboja pada Mei depan membawa semangat juang tinggi untuk terus mengharumkan nama negara.

Beliau yang mengumumkan persaraan selepas menoktahkan kemenangan gelaran dunia keempat di Melaka tahun lalu mengakui, atlet negara perlu mempunyai semangat juang tinggi dalam usaha mempertahankan kemenangan meskipun berdepan kesukaran.

Pesilat negara yang bakal terpilih dalam skuad negara akan menghadapi tugas besar pada tahun 2023 apabila menyertai Kejuaraan Silat Antarabangsa Premier Sarawak 2023 (SPISC) pada 27 hingga 5 Mac, Kejohanan Terbuka Belgium (28-30 April), Sukan SEA (6-10 Mei), Kejohanan Dunia Ke-20 di Jakarta (19-25 Ogos) dan Kejohanan World Beach Pencak Silat di Cebu, Filipina (Disember).

“Mereka boleh memenangi pingat emas, tetapi perkara yang merisaukan saya adalah mereka tidak berupaya untuk mengekalkan kejayaan tersebut.

“Bagi saya, mereka perlu terus belajar kerana pada zaman ketika saya bergelar atlet dahulu, kita bukan sahaja belajar untuk berjaya, tetapi mempertahankannya sekali. Kita perlu mempunyai jiwa yang besar untuk melakukannya.

“Ketika saya berada dalam kejuaraan kebangsaan pada Disember baru-baru ini, pesilat muda negara ini ada semangat juang tinggi, tetapi mereka tiada jiwa besar untuk mempertahankan kemenangan.

“Saya harap, mereka dengar apa yang saya katakan.

“Kepada mereka yang terpilih untuk mewakili Malaysia atas kejayaan mereka di pentas ­kejuaraan kebangsaan perlu menggalas tanggungjawab ini dengan baik,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd. Al Jufferi menutup kariernya dengan kejayaan penuh gemilang apabila dinobatkan sebagai Ikon Sukan Terbaik pada Majlis Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Kejayaan itu menyaksikan beliau membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback lima pintu) bernilai RM136,000, wang tunai RM5,000 berserta sebuah trofi.

The post Al Jufferi ingatkan pendekar negara perlu berjiwa besar appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*