Alami Pendarahan Luar Biasa, Doktor Bertungkus Lumus “Transfused” 61 Beg Darah Masuk Badan Lelaki Ini

Alami Pendarahan Luar Biasa, Doktor Bertungkus Lumus “Transfused” 61 Beg Darah Masuk Badan Lelaki Ini

Pada waktu kecil, kita sering disajikan dengan kisah adiwira yang menyelamatkan penduduk Bumi tanpa kenal erti penat lelah. Tindakan yang dilakukan oleh adiwira ini sangat memberi inspirasi kepada kita untuk memberi sumbangan kepada masyarakat apabila dewasa kelak.

Walaupun kini kita menyedari bahawa kita tidak memiliki apa-apa kuasa ajaib untuk memberikan perubahan positif kepada masyarakat, kita sebenarnya masih berpeluang untuk berbakti kepada masyarakat melalui anggota tubuh badan kita.

Salah satunya menerusi amalan mulia menderma darah. Setiap titis darah yang didermakan oleh kita sangat besar nilainya kerana darah yang didermakan mungkin mampu memberikan peluang kedua kepada mana-mana pesakit yang berada dalam situasi kritikal.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Kisah kuasa penderma darah dapat menyelamatkan nyawa ini turut diceritakan menerusi Facebook Derma Darah Terengganu Kite. Pengendali akaun tersebut mengekspresikan rasa terharu yang tidak terhingga ketika melihat seorang pesakit dapat diselamatkan menerusi darah yang didermakan oleh penderma darah.

Menurut hantaran tersebut, pesakit tersebut telah mengalami pendarahan serius iaitu kehilangan darah hampir lapan liter dalam beberapa jam sahaja.

Untuk makluman, jumlah darah manusia paling banyak adalah lingkungan 4-5 liter sahaja. Ini bermakna, pesakit ini telah kehilangan melebihi 150 peratus daripada jumlah darah dalam badannya.

Keadaan pesakit yang menghidapi beberapa penyakit kronik

Difahamkan, pesakit ini merupakan seorang lelaki tempatan, berusia pertengahan abad dan mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik seperti strok, kencing manis, kolesterol tinggi dan darah tinggi.

Lelaki tersebut telah ditahan di wad akibat muntah darah (upper gastrointestinal bleed) dalam jumlah yang membimbangkan.

Ketika melakukan proses endoskopi (OGDS), pihak perubatan mengesan pendarahan yang berterusan daripada beberapa ulser yang berada di dalam perut serta ususnya.

Malangnya pendarahan yang berlaku di beberapa organ dalamannya gagal dihentikan melalui prosedur tersebut.

Disebabkan kehilangan darah yang dialami oleh pesakit ini semakin merisaukan, lelaki tersebut terus dikejarkan ke dewan bedah bagi menjalani pembedahan ‘laparotomy’ dan ‘Massive Transfusion Protocol’ diaktifkan.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Pengaktifan Massive Transfusion Protocol

Protokol ini adalah salah satu cara untuk pihak Tabung Darah membekalkan produk darah kepada pesakit dengan lebih cepat, sistematik dan efisien.

Selepas mengaktifkan protokol tersebut, para doktor bius dan doktor bedah bertungkus-lumus untuk menyelamatkan nyawa pesakit tersebut dan melakukan pelbagai cara untuk menghentikan pendarahan tersebut daripada berterusan.

Selain itu, staf-staf di tabung darah pula tidak menang tangan dan berusaha keras untuk membekalkan beg darah secukupnya dan memastikan beg darah tersebut dapat diberi kepada pesakit tepat pada masanya.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Akhirnya, setelah berjuang lebih tujuh jam di dewan bedah, pendarahan berjaya dihentikan dan pesakit ini berjaya di selamatkan.

Lelaki pertengahan tahun ini kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan dan rawatan lanjut.

Derma darah dapat selamatkan nyawa seseorang

Untuk menyelamatkan pesakit lelaki tersebut, sebanyak 61 beg darah telah dimasukkan  ke dalam pesakit ini iaitu, 15 packed cell, 16 FFP, 12 platlet dan 18 cryoprecipitate.

Dalam pada itu, semua beg darah yang digunakan ini sebenarnya berasal daripada 61 orang penderma darah yang berjiwa besar. Jasa doktor-doktor, staf-staf sokongan dan semua penderma darah yang terlibat dalam menyelamatkan nyawa pesakit ini sangat besar nilainya.

Pada akhir hantaran tersebut, pengendali akaun tersebut mengakui hampir menitiskan air mata apabila melihat jasa semua pihak terutamanya penderma dapat memberikan ‘nyawa kedua’ kepada pesakit ini.

 

Sumber: Derma Darah Terengganu Kite via Facebook

The post Alami Pendarahan Luar Biasa, Doktor Bertungkus Lumus “Transfused” 61 Beg Darah Masuk Badan Lelaki Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*