Ali Puteh tetap kena bayar Siti Nor Hidayah RM60,000

KUALA LUMPUR: Pelawak Ali Puteh kekal diperintah membayar ganti rugi RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali kerana memfitnah wanita itu dalam laman sosial Instagram, dua tahun lalu.

Perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi di sini selepas menolak rayuan Ali Puteh untuk mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen, 10 bulan lalu yang mengarahkannya membayar ganti rugi tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh turut memerintahkan perayu atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan, 34, membayar kos RM5,000.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah turut menolak rayuan balu Allahyarham Abam Bocey itu untuk menaikkan jumlah ganti rugi RM60,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 18 Februari lalu selain memerintahkannya membayar kos RM5,000.

Keputusan rayuan itu dimaklumkan kepada wakil media oleh peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Syed Ali selepas prosiding yang dijalankan secara dalam talian. Siti Nor Hidayah, 30, diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad.

Noorazmir turut memberitahu, rayuan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman fitnah mereka terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah, turut ditolak dengan kos sama.

Sementara itu, Noorazmir berkata, beliau belum mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

Pada 18 Februari lalu, Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah terhadap Ali Puteh serta membenarkan permohonannya mendapat perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.

Zulqarnain berpuas hati Siti Nor Hidayah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Ali Puteh dan berpendapat, hantaran Ali Puteh dalam Instagram itu sangat menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.

Kemelut antara Siti Nor Hidayah dan keluarga tersebut tercetus selepas kematian Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.

Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ali Puteh bersama ahli keluarganya pada Julai 2020 turut memfailkan saman fitnah terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun Youtube usahawan kosmetik itu.

Mereka terdiri daripada bapanya, Syed Mohd. Ridzuan Syed Hassan, 67; arwah ibunya, Sabariah Arshad, 63; dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah Syed Mohd. Ridzuan, 44.

Temu bual itu didakwa telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Ali Puteh sekeluarga seperti yang disiarkan dalam akaun berkenaan. – UTUSAN

The post Ali Puteh tetap kena bayar Siti Nor Hidayah RM60,000 appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*