Angkara “Love Scam”, Wanita Sanggup Tuntut Cerai Dari Suami, Akhirnya ‘Terduduk’ Ditipu Lebih RM 650k

Angkara “Love Scam”, Wanita Sanggup Tuntut Cerai Dari Suami, Akhirnya ‘Terduduk’ Ditipu Lebih RM 650k

Kerana terlalu percaya dengan kekasih baharu yang hanya dikenali secara atas talian, seorang ibu tiga anak di Singapura sanggup menuntut cerai daripada suami sendiri dilapor menanggung kerugian hampir RM 650,243 ribu akibat menjadi mangsa ‘love scam’.

Menurut laporan The Straits Times, ‘kekasih’ kepada wanita berusia 40 tahun itu mendakwa dirinya merupakan seorang doktor tentera yang berasal dari Amerika Syarikat. Lelaki berkenaan kononnya berdepan dengan masalah kewangan dan memerlukan sejumlah besar wang untuk melangsaikan kos merawat kecederaan akibat ditembak pengganas ketika terlibat dalam satu misi di Sudan Selatan.

Percaya dengan penderitaan yang dialami kekasihnya, wanita tersebut dilapor telah menggadai polisi insurans kesihatannya dan memindahkan wang tersebut ke akaun lelaki berkenaan.

Hubungan sulit itu bagaimanapun berjaya dihidu oleh suami wanita itu yang kemudiannya bertindak membuat laporan polis berkenaan transaksi wang tersebut.

Walaupun berulang-kali dimaklumkan oleh polis bahawa dirinya sudah menjadi mangsa penipuan, wanita berkenaan enggan mempercayai sehinggalah semuanya sudah terlambat.

Kisah tersebut didedahkan sendiri oleh Timbalan Asisten Kommisioner, Aileen Yap ketika bercakap dalam satu seminar di Suntec Singapore Convention and Exhibition Centre, semalam.

Wanita tersebut dijanjikan bulan bintang sehingga sanggup melakukan apa sahaja

“Dia (wanita tersebut) percaya selepas kekasihnya pulih, lelaki tersebut akan terbang ke Singapura dan menjaga tiga orang anaknya bersama-sama,” kata Yap.

Menurut Yap lagi, ketiga-tiga anak pasangan tersebut berusia 12, sembilan dan dua tahun ketika itu.

Pihak polis mengambil masa selama tiga bulan untuk menyakinkan wanita terbabit, yang merupakan seorang akauntan, bahawa dirinya terjebak dalam jerat love scam.

Ketika wanita itu menunjukkan foto kekasih gelapnya yang didakwa diambil di sebuah hospital, pihak polis dengan pantas dapat mengesan bahawa foto berkenaan sudahpun disunting.

“Pegawai saya sudah berkali-kali mengingatkan bahawa dia sudah diperdaya, namun wanita itu tetap tidak mempercayai kami,” kata Yap.

Wanita itu hanya menerima hakikat bahawa dia sudah ditipu apabila menyedari ada yang tidak kena dengan e-mail yang digunakan kekasih gelapnya.

Walaupun pihak polis gagal menghalang pemindahan asal wang berjumlah lebih dari RM650,000, pihaknya berjaya mengembalikan kira-kira RM552,707 dengan membekukan akaun bank yang diguna untuk menerima transaksi tersebut.

”Wanita tersebut telah kehilangan banyak perkara dalam hidupnya, selain dari aspek kewangan. Suaminya memberitahu bahawa hubungan mereka tidak dapat dipulihkan kembali seperti dahulu.

“Ketiga-tiga anaknya menderita dan wanita tersebut juga terpaksa meminjam wang dari ahli keluarga serta kenalan untuk meneruskan hidup. Mereka juga mungkin tidak dapat semula semua wang itu,” ujar Yap.

BACA: Pesara Guru Dakwa Rugi RM472,941 Akibat Love Scam

Sumber: The Straits Times

The post Angkara “Love Scam”, Wanita Sanggup Tuntut Cerai Dari Suami, Akhirnya ‘Terduduk’ Ditipu Lebih RM 650k appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*