KUALA LUMPUR: Apa sebenarnya ‘strategi perang’ yang cuba dimainkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi final Piala FA berdepan Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Ia susulan sidang media pra perlawanan membabitkan skuad Harimau Selatan yang berlangsung di Stadium Nasional, hari ini boleh dianggap agak pelik.
Situasi pelik bermula dengan tindakan JDT hanya menghantar penolong jurulatih, Jose Lopez dan pemain yang banyak memanaskan bangku simpanan, Junior Eldstal untuk menghadiri sidang media itu.
Malah, sidang media itu juga berlangsung agak singkat iaitu kira-kira dua minit susulan Lopez dan Eldstal enggan mengulas lebih lanjut semua soalan yang diajukan media.
Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan Harimau Selatan untuk aksi final Piala FA, Lopez hanya menjawab: “Saya tidak tahu, saya tiada apa-apa untuk diperkatakan.”
Malah, jawapan ringkas yang seakan sama juga diberikannya apabila diajukan persoalan lain termasuk mengenai pertembungan dengan Selangor.
Tindakan sama juga dilakukan Eldstal apabila dia hanya menjawab “sangat bagus” ketika ditanya bagaimana persiapan JDT untuk berdepan Selangor.
JDT yang dibimbing ketua jurulatih, Hector Bidoglio menuju ke pentas akhir dengan reputasi lebih besar selaku juara bertahan Piala FA dua tahun berturut-turut apabila memenangi trofi itu pada 2022 dan 2023.
Seandainya berjaya menewaskan Selangor, Harimau Selatan bakal mencipta sejarah sebagai pasukan pertama melakar hatrik menjulang Piala FA tiga tahun berturut-turut.’
sumber: BH
Selangor pula sudah lama tidak menjuarai Piala FA dengan kali terakhir mereka menjulang trofi itu 15 tahun lalu selepas menundukkan Kelantan menerusi penentuan penalti pada final 2009.