AquaDom seperti ‘bom jangka’

BERLIN: Seorang pakar pembinaan Jerman menyifatkan, akuarium yang meletup di hotel Radisson Blu di Berlin seumpama ‘bom jangka’ dan kemalangan dua minggu lalu itu sudah dapat diramal kerana strukturnya yang uzur.

Bekas pemilik Schuran Seawater Equipment, Hermann Schuranm berkata, dia tidak terkejut ketika mendengar berita akuarium silinder terbesar dunia itu musnah pada 16 Disember lalu.

Kejadian itu mencetuskan banjir seakan tsunami di lobi hotel pada awal pagi dan membunuh 1,500 ikan tetapi ajaibnya tiada pelanggan yang cedera. 

Schuranm yang mempunyai kepakaran membina kemudahan sama berkata, pembina sepatutnya memaklumkan dengan jelas kepada pemilik hotel tahap ketahanan akuarium itu kerana kebanyakan binaan seperti itu hanya mampu bertahan sekitar 25 tahun sahaja.

Schuranm mendakwa pernah diminta untuk memberikan sebut harga bagi membina akuarium itu tetapi memutuskan untuk menolaknya kerana pembinaan itu terlalu besar dan dia tidak dapat memastikan dengan tepat jangka masa akuarium gergasi itu akan bertahan.

Schuranm berkata, syarikat yang  membina akuarium tersebut seharusnya bertanggungjawab terhadap insiden kemalangan itu, sambil menambah struktur asasnya sepatutnya diperiksa setiap dua tahun.

“AquaDom itu sepatutnya dipanaskan hingga 80 darjah dengan ketuhar selepas pembinaan dan sekali lagi selepas pengubahsuaian. Kaedah itu sangat mahal tetapi perlu dilakukan.

“Jika pemeriksaan dan kaedah yang betul tidak dilakukan, mereka boleh dipersalahkan akibat kecuaian,” jelasnya. 

Struktur itu dilaporkan pecah selepas 19 tahun dibuka pada Disember 2003 dan polis berkata, pihaknya tidak menemui sebarang bukti berlaku perbuatan jahat namun punca sebenar masih disiasat.-AGENSI

The post AquaDom seperti ‘bom jangka’ appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*