Arif Aiman membuktikan dirinya antara pemain terbaik Asia

Kuala Lumpur: Bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi membuktikan dirinya antara pemain terbaik Asia apabila meledak dua gol ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikat Shanghai Port FC 2-2 di Stadium Bolasepak Pudong, Shanghai di China, malam tadi.

Kejayaan mengikat juara Liga China musim lalu itu nyata sememangnya keputusan yang mengejutkan dikala Shanghai Port FC ditunjangi beberapa pemain ternama dunia diketuai bekas pemain tengah Chelsea, Oscar.

Bagaimanapun tumpuan terhadap Oscar sedikit tenggelam sebaliknya kelibat Arif Aiman mencuri perhatian dengan hampir memalukan tuan rumah.

Dalam aksi itu, Hector Bidoglio membariskan skuad terkuat dengan menyenaraikan sembilan tonggak import termasuk penjaga gol, Andoni Zubiaurre dengan dua lagi pemain tempatan, Arif Aiman dan Natxo Insa.

Begitupun skuad tuan rumah yang digelar The Red Eagles menguasai aksi dengan baik dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-19 sebelum William Popp dikesan offside ketika Zubiaurre sedia menghalang percubaannya.

Pelawat yang juga juara 10 kali berturut-turut Liga Super turut berpeluang memecah kebuntuan di minit 22 namun sentuhan Oscar Aribas sedikit meninggi.

JDT sekali lagi menghadirkan cemas menerusi sepakan percuma Juan Muniz tetapi rembatannya di minit 31 berjaya ditepis Yan Junling.

Gol diburu akhirnya terhasil pada minit 45 yang diraih menerusi Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia yang berjaya meledak gol cantik selepas dia melepasi pertahanan tuan rumah.

Shanghai Port FC hanya memerlukan dua minit sebaik separuh masa kedua bermula apabila kembali mengikat kedudukan 1-1 hasil tolakan mudah Gustavo da Silva yang menyambung percubaan awal Popp yang ditepis Zubiaurre.

Skuad Harimau Selatan tidak mengaku kalah apabila Arif Aiman sekali lagi membuktikan dirinya memiliki kualiti tersendiri apabila meledak gol kedua selepas tenang mengatasi Junling di minit 56.

Tuan rumah yang dibimbing Kevin Muscat sekali lagi bangkit dan kelalaian pertahanan JDT menyaksikan gawang wakil negara itu dibolosi di minit 73 menerusi Popp yang memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti.

sumber: HM

Anak buah Muscat terus menekan memburu gol kemenangan namun benteng JDT ampuh bertahan hingga wisel penamat dengan kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata.