Axelsen Tewaskan Naraoka Untuk Pertahan Gelaran Terbuka Malaysia

Axelsen Tewaskan Naraoka Untuk Pertahan Gelaran Terbuka Malaysia

Axelsen Tewaskan Naraoka Untuk Pertahan Gelaran Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Pemain badminton nombor satu dunia Viktor Axelsen memulakan kempen musim 2023 dengan baik sama seperti musim lepas, dengan mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia.

Axelsen menjadi pemain badminton dari Eropah pertama yang berjaya mempertahankan gelaran itu, menewaskan bintang baharu Jepun Kodai Naraoka 21-6, 21-15 dalam masa 40 minit di Arena Axiata.

Juara Olimpik dan juara dunia itu, membawa pulang US$87,500 (kira-kira RM379,300) hadiah wang kemenangan kerana memenangi kejohanan pembuka musim Super 1000, manakala Naraoka menerima US$42,500 (kira-kira RM 184,200).

Axelsen berkata berdasarkan kepada permainan Naraoka yang bermain dalam perlawanan yang panjang sebelum ke final, beliau jelas kepenatan dan tidak dapat mempamerkan permainan sebenarnya dan tidak seperti pertemuan antara mereka berdua sebelum ini.

“Pada saya ia suatu yang bagus untuk cuba bermain dengan laju secara konsisten dan tidak memberikan beliau sebarang peluang dan tunjukkan kepada beliau, jika dia mahu menang, beliau kena kerja keras. Tahniah pada Kodai kerana minggu yang baik, dan beliau pemain masa hadapan, dan kita akan lihat lebih lagi dari beliau,” katanya.

Axelsen melalui musim 2022 yang cemerlang dengan memenangi enam gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), termasuk peringkat akhir musim Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, bulan lepas, selain menang Kejuaraan Dunia keduanya di Tokyo, pada Ogos.

Pemain berusia 29 tahun itu yang kini telah memenangi 27 gelaran, mendedikasikan kemenangan itu kepada isterinya Natalia Koch Rohde dan anak perempuannya Vega dan Aya, atas kejayaannya untuk mengimbangi kehidupannya di dalam dan luar gelanggang, selain kepada pasukan kejurulatihannya.

Sementara itu Naraoka, 21, berkata berhadapan perlawanan yang panjang, terutamanya ketika separuh akhir bertemu pemain Thailand Kunlavut Vitidsarn, telah menjejaskan prestasinya sehingga tidak dapat memberikan cabaran kepada Axelsen seperti yang dilakukannya pada separuh akhir Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, pada Disember.

“Perlawanan itu tentunya sukar, Axelsen bermain dengan baik. Saya tidak dapat mencabar dia sebab kepenatan,” kata Naraoka, yang ketika di Bangkok memberikan cabaran sehingga 83 minit sebelum tewas 23-21,19-21, 18-21.

Naraoka, pemenang pingat gangsa Olimpik Remaja 2018, bermain antara perlawanan badminton paling lama dalam sejarah apabila mengambil masa 113 minit untuk menewaskan Kunlavut 21-17, 19-21, 21-17 pada peringkat separuh akhir malam tadi.

Sebelum itu beliau menewaskan dua pemain Malaysia Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, masing-masing pada pusingan pertama dan kedua sebelum menewaskan HS Prannoy dari India pada suku akhir, dengan kesemua perlawanan itu berakhir dengan tiga set dan sejumlah 362 minit di dalam gelanggang.

Sumber: BERNAMA

The post Axelsen Tewaskan Naraoka Untuk Pertahan Gelaran Terbuka Malaysia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*