Bagai Pulau-Pulau Kecil, 80 Peratus Perumahan Di Segamat Diliputi Air

Bagai pulau-pulau kecil

Bagai Pulau-Pulau Kecil, 80 Peratus Perumahan Di Segamat Diliputi Air

SEGAMAT 3 Mac (Bernama) — Bagaikan pulau-pulau kecil. Itulah keadaan yang dilihat di sekitar Segamat menerusi tinjauan udara, selepas beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak malam Isnin.

Tinjauan Bernama bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lewat petang semalam mendapati, air masih meliputi hampir 80 peratus kawasan perumahan di lokasi yang terjejas.

Selain itu, terdapat beberapa laluan ditutup kerana dinaiki air dengan kawasan Kampung Tenang dan Kampung Jawa di Segamat, hanya kelihatan bumbung rumah penduduk.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

Malah, air di Empangan Juaseh di Labis juga sudah melimpah ke kawasan perumahan dan Bernama difahamkan ia menjadi ‘petanda’ kepada keadaan banjir kritikal, kerana kawasan itu sudah ditenggelami air.

Setakat ini, tiga mukim yang terjejas teruk ialah di bandar Segamat, Chaah dan Labis, sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), demi keselamatan mereka.

Pengarah Bahagian Ope­rasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Ahmad Izram Osman yang turut serta dalam tinjauan tersebut berkata setakat malam tadi, air masih meliputi 80 peratus kawasan perumahan berkenaan.

Beliau berkata operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, masih giat dijalankan dengan menggunakan aset jentera dan bot termasuk dron.

“Empat dron digunakan unit udara JBPM bagi operasi menyelamat di Johor, selepas negeri itu dilanda banjir sejak Isnin lepas.

“Penggunaan dron menjangkau kawasan yang lebih jauh dan digunakan untuk memantau lokasi yang sukar diakses, jadi kita boleh merancang strategi proses menyelamat mangsa banjir,” katanya.

Ahmad Izram berkata selain dron, JBPM turut menyediakan sebuah pesawat dalam operasi menyelamat dan turut membantu membawa kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia, baru-baru ini.

Menerusi tinjauan udara itu juga, dapat dilihat kenderaan diparkir di kawasan tinggi selain penduduk menunggu di laluan yang dinaiki air, dengan harapan jalan tersebut dapat dilalui untuk pulang ke rumah masing-masing.

Pemandu lori, Mohd Hairulnizam Abu Bakar, 36, berkata beliau tidak menyangka air Sungai Segamat akan melimpah di laluan utamanya pulang ke rumah, yang menyebabkan dia terpaksa tidur atas motosikalnya berhampiran laluan itu.

“Saya pulang dari kerja pada Rabu jam 4 petang dan laluan Jambatan Lama Segamat sudah ditutup dan saya terpaksa tidur atas motosikal menunggu air surut,” katanya ketika ditemui Bernama di Jambatan Lama Bandar Segamat.

Mohd Hairulnizam berkata banjir di kawasan Segamat disifatkan terburuk, selepas kawasan itu pernah mengalami situasi sama pada 2006, 2011, 2013 dan 2017.

Setakat petang semalam, dua laluan utama ditutup sehingga petang ini iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung (Segamat) sejauh 10 kilometer dan Jalan Kampung Tungku Tiga-Felda Pemanis.

Segamat merupakan antara 10 daerah di Johor yang terjejas teruk akibat banjir, melibatkan 3,519 keluarga dipindahkan ke 77 pusat pemindahan sementara setakat 8 pagi tadi.

Sumber: BERNAMA

The post Bagai Pulau-Pulau Kecil, 80 Peratus Perumahan Di Segamat Diliputi Air appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*