Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya

KOTA BHARU: Banjir yang melanda Kelantan lebih seminggu lalu pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara rasminya hari ini.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, PPS Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buluh, Pasir Mas ditutup sepenuhnya pada pukul 5.30 petang tadi.

Menurutnya, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota APM negeri dan agensi penyelamat lain yang telah bertungkus-lumus membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS.

“Saya turut zahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh agensi penyelamat yang turut bergotong-royong membersihkan kawasan terjejas dengan banjir.

“Alhamdulillah, semua sungai-sungai utama di negeri ini sudah kembali ke paras normal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Utusan Online pagi tadi melaporkan, 31 orang mangsa banjir dari jajahan Pasir Mas masih lagi berlindung di dua buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Chicha dan Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buluh.

Sepanjang banjir melanda negeri ini bermula 19 Disember lalu, Gua Musang menjadi jajahan tunggal yang bebas daripada bencana tersebut.

Seramai 31,000 mangsa daripada jajahan Tumpat, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Kuala Krai, Jeli dan Bachok telah berlindung ke PPS sepanjang banjir melanda negeri ini.-UTUSAN

The post Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*