Bekas kerani didakwa beri pinjaman RM158,120 tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Seorang bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen melibatkan jumlah pinjaman RM158,120.

Yap Chee Siang, 25, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjaman beserta faedah tanpa lesen yang sah kepada Wong Chiew Ken, 34, melibatkan wang RM158,120.

Chee Siang didakwa melakukan perbuatan itu di antara 1 April 2021 dan 19 September lalu di Bandar Baru Sentul di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Chee Siang diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan sebagai syarat jaminan.

Tarikh sebutan pula ditetapkan pada 7 Februari depan untuk serahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM50,000 manakala pasportnya ditahan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan.

Bagaimanapun, peguam Abdul Rahman Zainal Abidin memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya hanya mampu menyediakan wang sekitar RM8,000 sahaja dan bersedia melapor diri di balai polis berhampiran sebagai syarat tambahan.

Peguam bela memberi alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai kerani dengan gaji RM2,500 dan perlu menanggung tiga adiknya yang mana dua daripadanya masih bersekolah, bapa dan nenek yang sudah tua.

Menurut peguam bela, bapa tertuduh bekerja sebagai pemandu lori dan tidak mampu melaksanakan tugas berdasarkan trip yang ditetapkan kerana faktor usia.

“Ibunya yang bertugas sebagai tukang cuci turut menjaga nenek tertuduh yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis manakala tertuduh menanggung kos ubat-ubatannya.

“Ibu tertuduh juga hadir ke mahkamah sebagai penjamin manakala jaminan rendah tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak,” jelas Abdul Rahman. – UTUSAN

The post Bekas kerani didakwa beri pinjaman RM158,120 tanpa lesen appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*