
Alor Setar: Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih bekerja keras untuk memastikan skuad itu terus kekal berada dalam saingan Liga Super musim depan meskipun masih berdepan cabaran kewangan yang dilalui pada musim lalu.
Ia dibuktikan dengan usaha rundingan terkini mendapatkan khidmat legenda bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma sebagai pemain baharu musim depan melalui pembiayaan yang akan ditanggung oleh pihak penaja baharu.
Semalam, KDA FC turut menamakan seorang lagi bekas pemain Portugal iaitu Joao Tomas yang sedang dirunding melalui pembiayaan pihak penaja baharu bagi mengisi jawatan sebagai Pengarah Teknikal KDA FC pada musim depan.
Menurut pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, semua inisiatif yang sedang dilakukan ini adalah bukti pihaknya mahu skuad Kedah kekal releven bersama identitinya dalam kancah bola sepak tempatan khususnya Liga Super pada musim depan.
“Mungkin ramai yang sudah membuat tanggapan bahawa KDA FC sudah ‘terkubur’, namun selagi ada ruang dan peluang, KDA FC akan tetap berusaha keras dan kuat bagi menyelamatkan KDA FC.
“Kami sudah berbincang dengan beberapa pihak penaja bagi menjadikan Quaresma sebahagian daripada skuad KDA FC musim depan dan kami berharap dapat membawa nama besar ini ke dalam pasukan.
“Secara jujur, benih kepada perbincangan ini samada membabitkan Ricardo Quaresma atau pihak penaja bagi pihak Ricardo Quaresma sudah pun bermula semenjak bulan Mac lalu,” katanya.
Sumber : HM
Mohd Daud juga berkata, pihaknya akan meneruskan usaha dan inisiatif yang sedang dilakukan kini bagi memastikan KDA FC menjadi pasukan yang lebih mampan di musim depan.
“Meskipun berdepan segala kekurangan masa dan dana untuk melengkapkan syarat perlesenan bagi musim baru nanti, kami pada masa ini sentiasa berusaha membuat apa yang terbaik buat pasukan di musim depan,” katanya.