Berita baik buat penjawat awam

Putrajaya: Berita baik menanti kira-kira 1.6 juta penjawat awam pada perhimpunan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (Mappa) ke-19, Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.

Biarpun tidak mendedahkan inti pati majlis amanat itu, namun ia dipercayai berkaitan pelarasan gaji penjawat awam yang akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Tak boleh bocor rahsia, insya-Allah berita baik untuk penjawat awam,” katanya ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas sebagai KSN di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mappa ke-19 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan penjawat awam dijangka menikmati kenaikan gaji melalui SSPA antara 15 hingga 42.7 peratus.

sumber: HM

Perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri pada hari penganjuran Mappa.