Berpuluh-puluh Terkorban Dalam Kemalangan Bas, Senegal Isytihar Tiga Hari Berkabung

kemalangan bas senegal

Kira-kira 40 orang terkorban dan ramai lagi cedera dalam pertembungan antara dua bas berhampiran bandar Kaffrine di tengah Senegal pada Ahad.

Ekoran daripada insiden tersebut, Presiden Senegal, Macky Sall mengumumkan tiga hari berkabung bagi negara itu bermula hari Isnin (hari ini).

“Saya amat sedih dengan kemalangan jalan raya yang tragis di Gniby sehingga menyebabkan 40 kematian dan ramai yang cedera.

“Saya mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera supaya cepat sembuh,” maklumnya.

Senegal Isytihar Tiga Hari Berkabung
Kredit: Macky Sall | Twitter

 

Senegal Isytihar Tiga Hari Berkabung
Kredit: Macky Sall | Twitter

 

Bagaimanapun, pendakwa raya, Cheikh Dieng berkata, “Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila bas yang ditugaskan untuk membawa penumpang mengalami masalah   tayar pecah dan hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas yang lain dari arah bertentangan,”

Dalam pada itu jurucakap Pasukan Bomba Kebangsaan Afrika Barat, Kolonel Cheikh Fall berkata 38 orang telah terkorban dan 87 orang cedera dalam insiden tragis itu.

Difahamkan kemalangan tersebut berlaku sekitar 3:15 pagi waktu tempatan. Susulan itu, semua mangsa dikejarkan ke hospital dan pusat perubatan di Kaffrine. 

Tambah Presiden Macky Sall, selesai sahaja tempoh berkabung untuk negara itu, kerajaan akan mengambil langkah serius berkenaan keselamatan jalan raya untuk mengelakkan perkara sama daripada berulang.

Menurut South China Morning Post, kemalangan jalan raya di Senegal adalah perkara biasa, malah sebahagian besarnya adalah disebabkan pemandu yang kurang berdisiplin, keadaan jalan raya yang tidak elok dan kenderaan yang uzur.

Bagaimanapun, ini adalah satu angka kematian yang terbanyak berbanding daripada beberapa kemalangan yang berlaku sebelumnya.

Misalnya pada Oktober 2020, sekurang-kurangnya 16 terbunuh dan 15 cedera apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah trak di barat Senegal.

Sumber: South China Morning Post

The post Berpuluh-puluh Terkorban Dalam Kemalangan Bas, Senegal Isytihar Tiga Hari Berkabung appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*