Berpunca Dari Lemak Trans, WHO Dedah 5 Bilion Manusia Berisiko Hidap Penyakit Jantung 

Berpunca Dari Lemak Trans, WHO Dedah 5 Bilion Manusia Berisiko Hidap Penyakit Jantung 

Sebuah laporan baharu daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendedahkan bahawa lima bilion penduduk dunia dilapor berisiko untuk mendapat penyakit jantung melalui lemak trans yang terdapat dalam produk makanan.

Memetik laman rasmi WHO, pada tahun 2018, agensi tersebut telah menyeru kepada pihak yang terlibat supaya lemak trans yang dihasilkan secara industri dalam produk makanan dihapuskan di seluruh dunia menjelang tahun 2023.

Difahamkan, 43 negara dengan gabungan populasi sebanyak 2.8 bilion manusia telah melaksanakan dasar amalan terbaik bagi menangani masalah lemak trans tersebut.

Pun begitu, sekitar 5 bilion penduduk dunia masih lagi berisiko mendapat penyakit berbahaya daripada kesan yang ditunjukkan oleh lemak trans tersebut sekali gus memusnahkan matlamat agensi itu untuk menyingkirkan lemak trans sepenuhnya pada tahun 2023.

Lemak trans atau juga dikenali sebagai asid lemak trans yang dihasilkan secara industri kebiasaannya ditemui di dalam makanan berbungkus, barangan bakar dan minyak masak.

Pengambilan lemak trans itu telah menyebabkan sekitar 500,000 kematian pramatang dicatatkan akibat penyakit jantung koronari yang berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

“Lemak trans tidak memberikan sebarang manfaat dan amat berisiko terhadap kesihatan yang boleh menyebabkan sistem kesihatan terpaksa menanggung kos yang besar.

“Sebaliknya, menghapuskan lemak trans adalah lebih efektif dan mempunyai manfaat yang besar untuk kesihatan.

“Secara ringkas, lemak trans ialah bahan kimia toksik yang membunuh dan tidak sepatutnya terdapat dalam makanan. Sudah tiba masa untuk menyingkirkannya semua,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Kredit: Pixabay

Dalam pada itu, WHO berkata bahawa sembilan daripada 16 negara dengan anggaran kadar tertinggi kematian penyakit jantung koronari yang berpunca daripada pengambilan lemak trans tidak melaksanakan dasar amalan terbaik yang disarankan.

Negara-negara tersebut terdiri daripada Australia, Azerbaijan, Bhutan, Ecuador, Mesir, Iran, Nepal, Pakistan dan Korea Selatan.

Pengarah Pemakanan dan Keselamatan Makanan WHO, Francesco Branca turut menyeru supaya negara terbabit mengambil tindakan yang segera bagi menangani isu tersebut.

Susulan itu, WHO telah memberi dua alternatif bagi melaksanakan dasar amalan terbaik tersebut seperti meletakkan had mandatori sebanyak 2 gram lemak trans bagi setiap 100 gram jumlah lemak yang terdapat dalam semua makanan yang dihasilkan oleh industri.

Seterusnya, mengenakan larangan wajib kepada negara terhadap pengeluaran dan penggunaan minyak penghidrogenan separa yang merupakan sumber utama lemak trans dalam ramuan yang digunakan dalam semua makanan.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Resolve to Save Lives, Dr Tom Frieden, pihak kerajaan boleh mencegah kematian dengan meluluskan dasar amalan terbaik berkenaan.

“Mulai sekarang, pihak kerajaan boleh mencegah kematian yang berlaku dengan meluluskan dasar amalan terbaik. Walaupun kematian yang berpunca daripada lemak trans sudah lama berlaku, namun kerajaan mesti bertindak untuk menamatkan kes kematian yang boleh dicegah ini,” jelasnya.

Sementara itu, pada tahun ini, WHO telah mengesyorkan kepada beberapa negara supaya memberi tumpuan kepada empat aspek ini termasuk menerima pakai dasar amalan terbaik, melakukan pemantauan dan pengawasan, menggantikan penggunaan minyak yang lebih sihat dan melakukan advokasi.

Bukan itu sahaja, WHO turut menggalakkan pengeluar makanan untuk menghapuskan lemak trans yang dihasilkan secara industri daripada produk makanan, sejajar dengan komitmen yang dilakukan oleh International Food and Beverage Alliance (IFBA).

Sumber: WHO, CNA

The post Berpunca Dari Lemak Trans, WHO Dedah 5 Bilion Manusia Berisiko Hidap Penyakit Jantung  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*