BN bakal terlibat dalam Kerajaan Perpaduan, tapi bukan diterajui PN

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun begitu, jelas Setiausaha Agongnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Kerajaan Perpaduan yang bakal dibentuk itu bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN)bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Katanya, MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, dimaklumkan juga bahawa Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 ini ialah pada 21-24 Disember nanti. – KOSMO! ONLINE.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*