boleh cetus ‘per4ng besar’

KUALA LUMPUR: Jika dahulu kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak ‘eksklusif’ dan hanya boleh diduduki oleh orang berpengaruh seperti ahli politik dan kerabat Diraja namun kini, senario berbeza dapat disaksikan.

Penyandang ketika ini, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berjaya memecahkan ‘konsep’ itu selepas menjadi ‘orang biasa’ pertama memegang jawatan nombor satu itu sehingga timbul persepsi bahawa hanya Hamidin ‘layak’ untuk mengisi posisi terbabit.

Ketika Hamidin menerajui badan induk itu, FAM ‘tenang’ kerana kerusi terbabit tampak tidak mampu digugat mana-mana individu namun keputusan Hamidin untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM pada bulan depan mencetuskan ‘ribut taufan.’

Ini kerana kerusi terbabit kini menjadi rebutan ramai individu dengan sekurang-kurangnya wujud tiga ‘kem’ yang ditubuhkan bagi menyusun strategi dan barisan kepemimpinan baharu bagi memulakan era selepas Hamidin.

Antara nama besar yang dijangka merebut kerusi panas itu adalah Naib Presiden FAM ketika ini, Datuk Joehari Mohd Ayub dan juga bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Joehari dilihat menjadi calon pilihan selepas namanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Status FAM dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA), November lalu.

Tidak terhenti kepada ‘orang FAM’, malah calon luar turut berminat memasuki ‘gelanggang’ antaranya Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang menawarkan diri untuk menjadi Presiden FAM.

Meskipun ‘orang luar’ namun Megat berani mengemukakan ‘manifestonya’ apabila menegaskan beliau sedia bekerja sebagai Presiden FAM tanpa menerima sebarang gaji – keistimewaan yang ketika ini dinikmati Presiden Eksekutif sepenuh masa.

Ada juga ‘lone ranger’ seperti Bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail yang turut menyatakan hasrat untuk bersaing pada kongres pemilihan FAM itu nanti.

Bukan hanya terhad kepada pembabitan Sayf yang juga Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM), tidak mustahil ada lagi tokoh lain yang ‘diam-diam’ turut menyasarkan kerusi utama itu.

Situasi yang berlaku ketika ini bakal mencetuskan perebutan kerusi Presiden FAM paling sengit dan mencabar dalam sejarah FAM – tidak diketahui berapa penjuru bagi persaingan kali ini.

Sebagai rekod, enam pencalonan diperlukan daripada ahli gabungan untuk merebut jawatan presiden dan sekiranya tiada aral melintang susulan perintah injuksi Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Kongres Pemilihan FAM akan berlangsung pada 15 Februari depan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan senarai calon yang akan bertanding dalam pemilihan bagi penggal 2025-2029 pada kongres badan induk itu akan diketahui selewat-lewatnya hujung Januari ini.

sumber: BH

Noor Azman berkata, FAM sudah menghantar e-mel notis kongres dan borang pencalonan dengan tarikh tutup pada 16 Januari kepada kesemua ahli gabungannya dan senarai calon kemudiannya akan dihantar untuk proses tapisan integriti sebelum senarai akhir yang layak bertanding diumumkan.