Boleh Ke Buat Ibadah Korban Untuk Ahli Keluarga Yang Sudah Meninggal? Ini Jawapan Dr. Zul

ibadah korban keluarga sudah tiada

Boleh Ke Buat Ibadah Korban Untuk Ahli Keluarga Yang Sudah Meninggal? Ini Jawapan Dr. Zul

Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu perayaan utama dan signifikan bagi penganut agama Islam.

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari raya ini merupakan hari raya yang paling besar dan banyak kelebihannya.

Antara pengisian perayaan ini adalah melaksanakan ibadah korban, terutamanya bagi mereka yang berkemampuan. Biasanya, individu yang ingin melakukan ibadah korban turut melakukan ibadah tersebut atas beberapa nama, misalnya bagi pihak ahli keluarganya.

Namun begitu, dalam keadaan tertentu, ada juga yang melakukan ibadah ini bagi pihak ahli keluarga yang sudah pun meninggal dunia.

Tindakan tersebut telah menimbulkan kemusykilan bagi sebahagian umat. Ada yang bertanya, boleh ke?

Perseolan ini kemudian diajukan kepada mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Agama, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri. Jadi, elok kita serahkan persoalan ini kepada alim ulama kita untuk dikupaskan jawapannya.

Soalan

“Saya ingin bertanya berkenaan ibadah korban, saya ada niat nak buat korban untuk dua kali pada tahun yang sama, maksudnya satu bahagian saya buat dengan ahli keluarga, satu lagi saya buat dengan orang lain dengan meletakkan niat dibuat untuk ahli keluarga yang telah meninggal. Apakah dibolehkan berbuat demikian?”

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.

Hadith riwayat al-Bukhari (5233)

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/478)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini pendapat Imam Nawawi.

Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya.

Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” (Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321)

“Dari Hanasy katanya aku pernah lihat Ali RA mengorbankan dua ekor kibas maka aku bertanya kepadanya, “Apa ini? (mengapa korban dua ekor?)”

Jawab Saidina Ali RA:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَوْصَانِى أَنْ أُضَحِّىَ عَنْهُ فَأَنَا أُضَحِّى عَنْهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW berwasiat kepada aku agar aku berkorban untuknya, maka akupun berkorban untuk baginda.”

Hadith riwayat Abu Dawud (2790) dan Ahmad (1285)

Kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’iyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat.

Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490)

Justeru, kami katakan tindakan saudara tidaklah menjadi satu kesalahan mengikut salah satu pendapat, kerana ia dianggap sebagai sedekah.

Menurut Imam Khatib al-Shirbini (w. 977H) hukum berkorban bagi orang yang telah mati adalah harus jika disertai wasiat daripada si mati. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/138)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”.

Surah al-Najm (39)

Bagaimanapun, Imam Khatib al-Shirbini menjelaskan, ada satu pendapat bahawa berkorban untuk orang yang telah meninggal dunia adalah harus walaupun tanpa ada wasiat kerana ia dianggap bahagian daripada sedekah.

Bersedekah atas nama orang yang meninggal dunia adalah sah dan dapat memberi manfaat kepadanya.

Misalnya, Syeikh Muhammad bin Ishaq al-Siraj al-Naisaburi salah seorang guru Imam al-Bukhari telah mengkhatamkan untuk Nabi Muhammad SAW setidaknya 10,000 khataman dan berkorban untuk Baginda Nabi SAW. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/138).

Semoga ibadat korban saudara dan orang yang diniatkannya akan diberi pahala dan diterima oleh Allah SWT.

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

BACA: Hilang Minat Belajar, Cikgu Dedah Ada Budak Darjah 6 Siap Upah Kawan Siapkan Kerja Sekolah

Sumber: Maktabah al-Bakri

The post Boleh Ke Buat Ibadah Korban Untuk Ahli Keluarga Yang Sudah Meninggal? Ini Jawapan Dr. Zul appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*