Ini Hukum Batalkan Solat Fardu Kerana Anak Menangis

membatalkan solat anak menangis

Ini Hukum Batalkan Solat Fardu Kerana Anak Menangis

Anak merupakan hadiah dan amanah daripada Allah S.W.T yang tidak ternilai. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita patut menjaga anak-anak kita dengan sebaik mungkin.

Sudah semestinya, anak-anak merupakan insan kecil yang masih belum dapat menguruskan dirinya dengan baik. Kadang-kadang, makhluk Allah yang kecil ini akan menangis secara tiba-tiba.

Sebab tangisan pula selalunya benda yang remeh temeh seperti tidak puas hati dengan adik beradik lain, makanan tidak mengikut citarasanya dan sebagainya.

Namun, ada kalanya tangisan tersebut memberikan amaran kepada orang sekeliling bahawa kanak-kanak tersebut dalam bahaya. Terutamanya jika mereka baru sahaja dilahirkan ke atas dunia ini.

Tangisan kanak-kanak ini tidak boleh diramal sebabnya, jadi apakah yang perlu ibu bapa lakukan jika anak-anak mereka menangis ketika menunaikan solat fardu?

Hukum Batalkan Solat Fardu Kerana Anak Menangis

Bagi menjawab persoalan ini, pihak Mufti Wilayah persekutuan telah mengeluarkan jawapan yang komprehensif bagi menjawab persoalan tersebut.

Soalan

Assalamualaikum wrth, saya ingin bertanya tentang hukum membatalkan solat fardu disebabkan kadang-kadang apabila tengah solat anak menangis tiba-tiba dan terkadang itu tangisannya sangat teresak-esak.

Jadi saya bimbang apa-apa terjadi padanya maka saya pun membatalkan solat saya. Mohon penjelasan daripada pihak Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Haram membatalkan solat fardu kerana anak menangis selagi mana tidak sampai ke tahap yang membimbangkan tentang keselamatan si anak.

Jalan terbaik ialah penjaga anak tersebut meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan perbuatan rukun-rukun dalam solat sahaja tanpa melakukan perkara-perkara sunat dalam solat.

Namun, boleh membatalkan solat fardu sekiranya tangisan tersebut seolah-olah anak itu berada dalam bahaya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam Islam membatalkan sesuatu amalan dengan sengaja tanpa sebab-sebab yang dibolehkan syarak adalah dilarang dan hal ini merupakan perkara yang disepakati oleh fuqaha.

Oleh itu, seseorang yang sedang mendirikan solat fardu, tidak boleh membatalkan solatnya melainkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”

Surah Muhammad (33)

Antara keuzuran yang dibenarkan syarak itu ialah seperti membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri orang yang sedang menunaikan solat.

Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

اقْتُلُوا الأَسْوَدَيْنِ فِي الصَّلاَةِ الْحَيَّةَ وَالْعَقْرَبَ ‏

Maksudnya: “Bunuhlah dua binatang hitam ketika solat iaitu ular dan kala jengking.”

Riwayat Abu Daud

Dalam Tuhfah al-Muhtaj menyebutkan bahawa:

وَمَن تَلَبَّسَ بِصَومٍ تَطَوُّعٍ أو صَلَاةٍ أَو غَيْرِهِمَا مِن التَطَوُّعَات إِلّا النُّسُك، فَلَهُ قَطْعُهُمَا، لِلخَبَرِ الصَّحِيح: الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيرُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ” وَقِيسَ بِهِ الصَّلَاة وَغَيرِهَا،فقوله تعالى:{وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ} مَحَلُّهُ فِي الفَرْضِ

Maksudnya: Sesiapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadis sahih, “Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika sekiranya dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian.” Oleh itu, diqiaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Oleh itu, firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu, merujuk kepada ibadah yang fardu”.

Maka isu anak menangis ketika penjaganya sedang melakukan solat fardu bukan termasuk dalam perkara darurat yang membolehkan penjaganya membatalkan solat fardu melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik bagi situasi ini adalah dengan meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan perbuatan rukun-rukun solat sahaja tanpa melakukan perkara-perkara sunat dalam solat.

Hal ini berdasarkan kepada hadis diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنِّي لأَقُومُ إِلَى الصَّلاةِ وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ أُطَوِّلَ فِيهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ

Maksudnya: “Ketika aku sedang solat, aku ingin memanjangkan solat. Lalu aku mendengar tangisan seorang kanak-kanak hingga menyebabkan aku memendekkan solatku kerana bimbang akan menyusahkan ibu kepada kanak-kanak tersebut.”[4]

Riwayat Abu Daud

Kesimpulan

Umumnya, haram membatalkan solat fardu bagi penjaga kanak-kanak kerana risau keadaan anaknya yang sedang menangis melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya.

Namun, dia boleh meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan rukun-rukun solat sahaja tanpa melakukan perkara-perkara sunat dalam solat. Wallahuaʻlam.

BACA: Nak Anak Tapi Tak Mampu, Mufti Perjelas Hukum Rancang Keluarga Kerana Berpendapatan Rendah

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

The post Ini Hukum Batalkan Solat Fardu Kerana Anak Menangis appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*