Bomba Johor periksa 182 premis tumpuan sempena Tahun Baharu Cina

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor akan menjalankan pemeriksaan keselamatan kebakaran di 182 premis tumpuan orang ramai termasuk pusat beli belah dan hotel bersempena dengan cuti Tahun Baharu Cina.

Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Rizal Buang berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan sistem keselamatan kebombaan berada dalam keadaan yang baik dan berfungsi sekiranya berlaku kecemasan.

“Kita akan periksa sistem keselamatan kebakaran di kawasan tumpuan ini termasuklah memantau operasi bilik kawalan dan peralatan kebakaran selain kesiapsiagaan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang bertindak mengawal kebakaran sebelum ketibaan bomba.

“Kita juga akan memastikan luan-laluan keluar tidak terhalang yang boleh menyukarkan orang ramai keluar melepaskan diri ke kawasan berkumpul jika berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan dan Ops Tahun Baharu Cina 2023 di Aeon Bukit Indah di sini hari ini.

Mohd. Rizal berkata, pihaknya turut memberi tumpuan dalam rondaan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi tumpuan orang lain di kawasan terbuka seperti di pusat peranginan, pantai atau air terjun.

“Memandangkan monsun timur laut masih belum berakhir, maka rondaan kita juga akan melibatkan pusat-pusat peranginan, pantai, air tejun dan sebagainya,” katanya.

Seramai 150 orang terdiri daripada pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran di zon, ketua-ketua balai bomba dan penyelia di balai ditugaskan sepanjang operasi pemeriksaan di premis itu sehingga 30 Januari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rizal berkata, pihaknya juga akan menempatkan pasukan dan jentera di dua lokasi di lebuh raya iaitu kawasan Sedenak dan Yong Peng sepanjang tempoh musim perayaan ini.

Katanya, ia bagi membolehkan pasukan tersebut memberi respons pantas terhadap laporan kecemasan seperti kemalangan di lebuh raya dengan lebih cepat.

“Seperti biasa di Johor ada dua lokasi iaitu di Sedenak dan Yong Peng yang kita tempatkan jentera untuk bersedia bagi menjalankan rondaan berkala di lebuh raya selain bersedia untuk memberi bantuan pantas sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post Bomba Johor periksa 182 premis tumpuan sempena Tahun Baharu Cina appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*