Bot kenka tak diusahakan sendiri pemilik ditahan APMM

BAGAN SERAI – Sebuah bot kenka yang tidak diusahakan sendiri pemiliknya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Tanjung Piandang di sini kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot itu dikesan di perairan Kerian ketika bergerak dalam keadaan mencurigakan dan ia dirapati mereka untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan awal menemui dua nelayan tempatan termasuk tekong masing-masing berumur 39 dan 40 tahun berada di bot.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu mempunyai lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan disyaki menggunakan pemberat pukat melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua nelayan beserta bot dan peralatan menangkap ikan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk siasatan.

Mohd. Najhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan disyaki menggunakan pemberat pukat melebihi had yang dibenarkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada Jumaat lalu, sebuah bot nelayan tempatan kelas B bersama tiga nelayan warga Myanmar ditahan di kedudukan 7.5 batu nautika barat daya muara Kuala Gula sekitar pukul 12.45 tengah hari.

“Kesemua tiga kru nelayan berumur antara 26 hingga 55 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, bot mempunyai lesen sah namun tidak diusahakan sendiri pemiliknya dan tiada kebenaran penggajikan kru warga asing
oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Sebanyak 45 kilogram ikan campur dan 70 kilogram ikan baja turut ditemukan semasa pemeriksaan. Kesemua kru nelayan bersama bot, hasil perikanan serta peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk siasatan,” katanya.

Mohd. Najhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ia juga disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, bot tidak diusahakan sendiri pemiliknya dan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran,” katanya.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada APMM di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) dengan segera. – KOSMO! ONLINE

The post Bot kenka tak diusahakan sendiri pemilik ditahan APMM appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*