Bot nelayan tempatan ditahan tangkap ikan luar kawasan zon – Maritim

PETALING JAYA – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar zon yang dibenarkan di Kuala Tatau, Bintulu, Sarawak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak sembilan batu nautika kira-kira pukul 10.30 pagi.

Katanya, tangkapan dilakukan hasil aduan orang awam berikutan masih terdapat vesel nelayan tempatan menceroboh kawasan pesisir pantai.

“Hasil penggeledahan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan lima orang kru yang mana dua orang termasuk tekong warga tempatan dan empat orang kru warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, empat orang kru warga Indonesia tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri iaitu pasport semasa ditahan. Kesemua kru yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bot nelayan yang ditahan APMM Zon Maritim Bintulu. FACEBOOK APMM

Mohd. Khairol berkata, pihak APMM juga turut menyita hasil laut seperti ikan campur dan ikan baja seberat 100 kilogram, vesel, peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM500,000.

Tambahnya, kesemua kru beserta bot nelayan ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

“Kru warga asing yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan 1963 kerana disyaki memasuki Malaysia secara haram dan salah guna permit kerja seperti yang terdapat di dalam pasport.

Dalam pada itu, pihaknya meminta orang ramai laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-4325447 beroperasi 24 jam. – KOSMO! ONLINE

The post Bot nelayan tempatan ditahan tangkap ikan luar kawasan zon – Maritim appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*