Bukan Hanya Di AS, Papan Tanda Hollywood Juga Ada Di Jogjakarta

Bukan Hanya Di AS, Papan Tanda Hollywood Juga Ada Di Jogjakarta

Hollywood merupakan sebuah tempat yang terkenal bagi industri perfileman dan ia terletak di negeri California, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, selain di Amerika Syarikat, terdapat satu lagi nama Hollywood yang turut terkenal di daerah Kulon Progo, Jogjakarta, Indonesia.

Pun begitu, kedua-dua tempat tersebut merupakan tempat yang sangat berbeza kerana Hollywood yang terkenal di Yogyakarta itu merupakan sebuah tanah perkuburan awam.

Menurut portal Detik.com, tanah perkuburan itu pada mulanya dikenali sebagai Tanah Perkuburan Mblendung, namun kini ia lebih dikenali sebagai Tanah Perkuburan Hollywood dan tulisan tersebut pula dikatakan berada di pinggir Jalan Nasional Jogja-Wates atau lebih tepat di Dusun Ngramang.

Istilah Hollywood ini sebenarnya merujuk kepada tulisan yang diukir di atas tebing setinggi lima meter di bawah Tanah Perkuburan Mblendung.

Kredit: Fathi Mahmud via Liputan6

Difahamkan, ukiran tersebut diperbuat daripada simen gabungan warna hitam dan putih, malah ia kelihatan sangat menyerlah kerana saiz ukiran tersebut dikatakan amat besar.

Kesannya, ia telah menarik perhatian orang ramai sehingga tempat tersebut dijadikan tempat menarik untuk bergambar.

Menurut salah seorang penduduk di kawasan tersebut, tulisan Hollywood itu telah dibina oleh penduduk tempatan pada tahun 1989.

Tujuan ia dibina adalah untuk mencantikkan kawasan tersebut kerana ia dikatakan pernah menjadi tempat untuk aktiviti kesenian, kemasyarakatan dan persembahan.

“Tulisan Hollywood itu sebelum ini ditulis oleh penduduk tempatan kerana halaman depan kawasan itu sering dijadikan tempat untuk melakukan persembahan Kuda Kepang, wayang kulit dan aktiviti lain. Jadi, saya fikir bagaimana jika saya mengubah tulisan itu supaya menjadi lebih menarik?

“Pada mulanya ia dilakukan dengan mengukir tebing di situ, namun lama-kelamaan ia hilang dan akhirnya ia dibuat dengan menggunakan simen. Saya menjaga ukiran tersebut pada setiap tahun,” kata penduduk itu.

Kredit: Fathi Mahmud via Liputan6

Bagaimanapun, wakil penduduk yang berusia 57 tahun itu berkata pemilihan nama Hollywood itu dilakukan tanpa sebarang sebab tertentu.

Pada awal pembuatan ukiran tersebut, penduduk tempatan hanya mencadangkan nama secara rawak sehingga muncul satu perkataan Hollywood yang merujuk kepada pusat hiburan dan filem yang terletak di California, Amerika Syarikat.

Cadangan itu kemudiannya diluluskan secara serta-merta kerana nama tersebut dianggap menarik.

Apa yang lebih menarik, kewujudan nama Hollywood di daerah Kulon Progo itu telah menjadi trademark yang lebih dikenali oleh masyarakat berbanding nama Dusun Ngramang.

Perkara itu turut dipersetujui oleh seorang lagi penduduk tempatan yang berusia 40 tahun.

“Ya, Hollywood lebih terkenal daripada Ngramang. Orang lebih mengenali Hollywood, malah ada sebuah stesen minyak yang sepatutnya dipanggil sebagai stesen minyak Ngramang namun orang lebih tahu tentang stesen minyak Hollywood,” jelasnya.

Pun begitu, penduduk tempatan tidak pernah mempersoalkan mengenai hal tersebut. Bagi mereka, kemasyhuran Hollywood itu sebenarnya merupakan satu rahmat kerana ia telah menjadikan kawasan tersebut menjadi lebih terkenal bagi masyarakat umum.

Sumber: Detik.com

The post Bukan Hanya Di AS, Papan Tanda Hollywood Juga Ada Di Jogjakarta appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*